Pasir Mas ‘bergelap’, TNB tutup bekalan elektrik di 40 kawasan
Paras air yang semakin meningkat di daerah itu menyebabkan Tenaga Nasional Berhad (TNB) terpaksa menutup bekalan elektrik untuk tujuan keselamatan orang ramai

KOTA BHARU 26 Dis – Jumlah kawasan bergelap akibat banjir di Pasir Mas meningkat kepada 40 lokasi berbanding malam tadi yang hanya membabitkan 16 kawasan saja.
Paras air yang semakin meningkat di daerah itu menyebabkan Tenaga Nasional Berhad (TNB) terpaksa menutup bekalan elektrik untuk tujuan keselamatan orang ramai.
TNB menerusi Facebook memaklumkan, setakat jam 10 pagi tadi, terdapat penambahan penutupan bekalan elektrik di Pasir Mas disebabkan keadaan hujan lebat dan banjir.
“Tindakan itu dibuat TNB demi keselamatan pengguna setempat. Antara yang terjejas adalah Jeram Perdah, Bongor, Bukit Lata, Taman Gemilang, Pengkalan Rakit, Sekolah Kebangsaan (SK) Gual Tok Deh dan Terusan.
“Selain itu, kawasan lain yang terbabit adalah Merbau Serongga, Serongga, Gual Pinang, Kuin Merah, Gual Nering, Kebakar, Gual Sitok dan Gual Bunut,” katanya.
TNB turut mengingatkan orang ramai supaya tidak menghidupkan peralatan elektrik jika palam atau soket alir keluar berada dalam keadaan basah atau dilitupi air banjir.
“Orang ramai perlu waspada dengan hujan lebat dan keadaan berisiko banjir. Mereka dinasihati menjauhi punca atau barangan elektrik yang terendam air banjir kerana dikhuatiri berlaku kebocoran arus,” katanya. – Xklusif