
Agensi pertahanan awam Gaza hari ini melaporkan bahawa tujuh orang terbunuh dalam serangan udara baharu oleh Israel di wilayah yang ditadbir Hamas itu.
“Pihak penjajah telah melancarkan serangan udara yang ganas di Bandar Gaza serta di bandar Beit Lahia, Beit Hanoun dan Khan Younis, menyebabkan tujuh orang awam terbunuh,” kata jurucakap pertahanan awam, Mahmoud Bassal, kepada AFP.
Empat orang maut di kawasan Al-Rimal berhampiran Bandar Gaza, dua di Al-Sabra di sebelah barat Bandar Gaza, dan seorang lagi di Khan Younis.
“Pihak penjajah juga telah memusnahkan lebih daripada 10 buah rumah di sebelah timur Bandar Gaza dan di Rafah,” tambahnya.
Tentera Israel, yang belum mengeluarkan sebarang kenyataan rasmi setakat ini, telah memperhebatkan serangan udara serta memperluas operasi darat di Semenanjung Gaza sejak ia menyambung semula ofensif di wilayah Palestin yang dikepung itu pada 18 Mac.
Agensi pertahanan awam Gaza semalam menuduh tentera Israel melakukan “hukuman mati tanpa perbicaraan” dalam kes pembunuhan 15 anggota penyelamat bulan lalu, sambil menolak dapatan siasatan dalaman oleh pihak tentera.
Sekurang-kurangnya 1,691 orang telah terbunuh di Gaza sejak ofensif disambung semula, menjadikan jumlah korban keseluruhan sejak perang meletus mencecah sekurang-kurangnya 51,065 orang, menurut Kementerian Kesihatan di Gaza yang ditadbir Hamas.
Serangan Hamas ke atas Israel yang mencetuskan perang tersebut mengakibatkan 1,218 orang terbunuh, kebanyakannya orang awam, menurut kiraan AFP berdasarkan angka rasmi Israel.