‘Patutlah orang luar kata Langkawi mahal’ – Pelanggan terkejut lauk ayam goreng kunyit dicaj RM20
Perkongsian yang dimuat naik di Facebook itu mendapat perhatian ramai sehingga tular di media sosial hari ini.
KUALA LUMPUR 15 Jan – Seorang pelanggan terkejut selepas mendapati sepinggan lauk ayam goreng kunyit di sebuah restoran di Pulau Langkawi berharga RM20.
Perkongsian yang dimuat naik di Facebook itu mendapat perhatian ramai sehingga tular di media sosial hari ini.
“Patutlah orang luar kata Langkawi mahal, korang rasa berbaloi ke kena harga macam ini?,” tulisnya di ruangan kapsyen.
Lelaki itu turut berkongsi resit dan gambar hidangan ayam goreng kunyit bersaiz sesuai untuk seorang makan dan dinikmati bersama nasi putih dan air kosong.
Resit itu memaparkan harga bagi sepinggan ayam goreng kunyit adalah RM20, manakala sepinggan nasi putih berharga (RM3) dan air kosong (RM1).
Menjengah ke ruangan komen, rata-rata meluahkan perkara yang sama dan bersetuju harga makanan di Langkawi tidak memberansangkan.
“Makanan biasa pun peniaga tekan harga macam makanan mewah Langkawi ni terdesak sangat ke nak cari untung?”, soal seorang pengguna Facebook.
“Jangan merungut bila orang dah tak pergi Langkawi. Masa tu baru sibuk nak turunkan harga,” kata Adila Yusof.
“Bila kena serbu dengan KPDN pandai pula nak pusing cerita. Eloklah peniaga macam ni kena saman biar dia tahu apa perasaan pelanggan,” kata Noli Ahmad.
Sehingga kini hantaran itu telah menjadi tular di Facebook dengan menerima sebanyak 1,200 tanda suka sejak dimuat naik semalam. – Xklusif