Berita

‘Pecat lagi bagus sebab kami tak akan U-turn’ – MP Labuan cabar Bersatu

Digantung enam tahun berkuat kuasa November tahun lalu, Suhaili berkata parti itu tidak perlu bersusah payah membawa beliau serta lima lagi ke mahkamah kerana ia hanya sia-sia dan tidak mendorong mereka membuat pusingan U

KUALA LUMPUR 30 Jan – Ahli Parlimen Labuan Suhaili Abdul Rahman yang digantung keahlian oleh Bersatu mencabar parti itu memecat semua Ahli Parlimennya yang menyatakan sokongan kepada Perdana Menteri Anwar Ibrahim.

Digantung enam tahun berkuat kuasa November tahun lalu, Suhaili berkata parti itu tidak perlu bersusah payah membawa beliau serta lima lagi ke mahkamah kerana ia hanya sia-sia dan tidak mendorong mereka membuat pusingan U.

“Pecat lagi bagus sebab kami tak akan U-turn (patah balik),” katanya kepada FMT mengulas keputusan Bersatu mahu mengambil tindakan undang-undang ke atas wakil rakyatnya yang khianat selepas menyeberang menyokong pentadbiran kerajaan.

Selain Suhaili, lima lagi Ahli Parlimen Bersatu menyatakan sokongan kepada Anwar ialah Zulkafperi Hanapi (Tanjong Karang), Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal (Bukit Gantang), Zahari Kechik (Jeli), Mohd Azizi Abu Naim (Gua Musang), dan Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar).

Semalam, Setiausaha Agung Hamzah Zainudin berkata Bersatu memutuskan meminda Perkara 10 Perlembagaan parti menghalang insiden sama daripada berulang, selain sedia berdepan PRK jika berlaku pengosongan kerusi wakil rakyatnya yang diambil tindakan kelak.

Mengulas keputusan itu, Suhaili menegaskan tindakan Bersatu membawa perkara itu ke mahkamah adalah sia-sia kerana tindakan mereka menyokong kerajaan tidak salah dari sudut perlembagaan dan parti.

“Kami sokong kerajaan ketika Bersatu tak pinda perlembagaan lagi, kalau pinda pun dah tak terpakai untuk kami,” tegasnya.

Berdasarkan Undang-Undang Anti Lompat Parti yang diluluskan pada Julai 2022, seseorang Ahli Parlimen akan hilang kerusi jika bertukar parti atau lompat parti. Bagaimanapun, seseorang Ahli Parlimen tidak akan kehilangan kerusinya jika wakil rakyat itu dipecat daripada parti atau parti terbubar atau dibatalkan pendaftarannya.

Dalam pada itu, Suhaili mendedahkan sikap pemimpin utama parti yang masih enggan berunding mengenai peruntukan wakil rakyat pembangkang, menyebabkan mereka terpaksa “memilih jalan sendiri”.

“Ya betul (tak mahu berunding), sebab tu kita kena buat pilihan sendiri bila pemimpin parti main ping pong.

“Bila dibangkitkan hal peruntukan, top 4 kata mereka pun sama (tak dapat).. mana boleh sama, mereka pemimpin. Pernah jadi menteri, mereka ada pencen besar tapi kami wakil rakyat biasa hanya hidup atas elaun kami, mana cukup,” katanya.

Beliau berkata hasil sokongan kepada kerajaan Anwar, rakyat Labuan kini mampu menikmati pembangunan sama seperti rakyat di kawasan lain.

“Kalau saya tak sokong PMX (Anwar) Labuan tak akan maju kerana Labuan adalah Wilayah Persekutuan,” katanya sambil mendedahkan sudah menerima peruntukan bagi tahun ini pada awal Januari lalu. – FMT

Ikuti Xklusif di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!

Artikel Berkaitan

Back to top button