PORT DICKSON: Kira-kira 50 pegawai penguat kuasa jabatan imigresen yang ditahan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia pada bulan September atas syak terlibat dalam sindiket “counter setting” telah dipindahkan ke unit lain.
Ketua Pengarah Imigresen, Zakaria Shaaban, berkata pegawai-pegawai berkenaan tidak lagi bertugas di kaunter kawalan masuk di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).
“Mereka semua masih dalam siasatan SPRM. Mereka telah diberikan tugas lain.
“Jabatan tidak akan berkompromi dengan mana-mana pegawai yang terlibat dalam isu integriti. Tindakan tegas akan diambil jika mereka didapati bersalah,” katanya kepada pemberita di Akademi Imigresen Malaysia di sini hari ini.
Zakaria berkata jabatan itu akan memberikan kerjasama penuh kepada SPRM dalam menyiasat mana-mana kakitangannya yang disyaki terlibat.
SPRM telah membongkar sindiket yang terlibat dalam membawa warga asing masuk ke Malaysia dari Myanmar, Bangladesh, Indonesia, India, Pakistan dan Nepal melalui pintu masuk tanpa pemeriksaan yang sewajarnya oleh pihak berkuasa.
Operasi sindiket tersebut terbongkar selepas agensi itu mula-mula menahan 12 individu di Lembah Klang, Pulau Pinang dan Kelantan.