Berita

Pegawai kanan polis langgar pelajar didakwa atas tuduhan membunuh esok

Suspek yang juga pegawai kanan Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan dituduh mengikut Seksyen 302, Kanun Keseksaan

KUALA LUMPUR 17 Dis – Jabatan Peguam Negara memaklumkan pendakwaan terhadap suspek kes kemalangan jalan raya membabitkan seorang calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) di Ipoh, Perak akan dibawa ke Mahkamah Majistret Ipoh, esok.

Peguam Negara dalam satu kenyataan hari ini berkata, suspek yang juga pegawai kanan Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan dituduh mengikut Seksyen 302, Kanun Keseksaan.

“Setelah membuat penelitian ke atas hasil siasatan dan keterangan yang dikemukakan dalam kertas siasatan, jabatan ini mendapati bahawa terdapat keterangan yang mencukupi bagi suatu kesalahan membunuh di bawah Seksyen 302, Kanun Keseksaan terhadap suspek.

“Justeru, suspek akan dituduh secara tentatif di bawah Seksyen 302 di Mahkamah Majistret, Ipoh, Perak pada Isnin 18 Disember 2023. Mahkamah Majistret kemudiannya akan menetapkan tarikh untuk memindahkan kes terbabit ke Mahkamah Tinggi Ipoh untuk tujuan perbicaraan,” katanya.

Jabatan Peguam Negara merujuk kepada kes kemalangan yang berlaku Khamis lalu, berhampiran Sekolah Menengah Kebangsaan Jati, di Ipoh membabitkan sebuah kereta dipandu pegawai kanan polis dan motosikal ditunggang seorang pelajar yang maut dalam kejadian terbabit.

Penunggang motosikal, iaitu remaja berusia 17 tahun, Muhammad Zaharif Affendi Muhd Zamrie, ketika itu dalam perjalanan pulang dari sekolah.

Hasil bedah siasat yang dijalankan mendapati punca kematian ialah kecederaan di bahagian dada dan abdomen. – Xklusif

Artikel Berkaitan

Back to top button