Berita

Pegawai penyiasat didakwa rakan suspek akan ditukar

Polis akan berusaha memenuhi permintaan dan desakan ahli keluarga pelajar Tingkatan Lima yang maut dilanggar kereta dipandu pegawai kanan polis

IPOH 16 Dis – Polis akan berusaha memenuhi permintaan dan desakan ahli keluarga pelajar Tingkatan Lima yang maut dilanggar kereta dipandu pegawai kanan polis dalam kejadian berhampiran Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Jati di Meru, di sini, semalam, bagi memastikan kes itu disiasat secara telus dan berkredibiliti.

Ketua Polis Perak, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri, berkata antara permintaan keluarga mangsa yang dizahirkan ketika sesi kunjungan pihaknya ke rumah mereka di Taman Chepor Sentosa, di sini petang ini, termasuk menukar pegawai penyiasat kes itu yang didakwa keluarga mangsa sebagai mempunyai konflik kepentingan.

“Sebentar tadi saya menziarah keluarga mangsa dan sudah bercakap secara hati ke hati dengan bapa mangsa. Mereka membuat beberapa permintaan untuk kita tingkatkan lagi siasatan dan kredibiliti kita.

“Saya percaya dengan kesedihan dialami keluarga mangsa, Insya-Allah saya akan mengambil tindakan seperti diminta mereka untuk memastikan kepercayaan dan siasatan kes ini mendapat kebenaran yang dikehendaki mengikut undang-undang,” katanya selepas sesi ziarah itu petang tadi.

Hadir sama, Timbalan Ketua Polis Perak, Datuk Azizi Mat Aris; Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Yahaya Hassan dan EXCO Pendidikan, Pengajian Tinggi, Belia dan Sukan Perak, Khairudin Abu Hanipah.

Pada pertemuan itu, bapa mangsa, Muhd Zamrie Zainal Abidin, 55, dilihat tidak mampu menahan kesedihan kematian anaknya, Muhammad Zaharif Affendi, 17, apabila dia hampir rebah ketika berpelukan sebagai tanda menyambut ketibaan Mohd Yusri di anjung rumahnya.

Program ziarah itu disusuli luahan hati ahli keluarga mangsa mengenai insiden berkenaan, termasuk beberapa permintaan keluarga antaranya menukar pegawai penyiasat kes yang didakwa mereka mempunyai hubungan sebagai rakan dengan suspek kes itu, selain persoalan mengenai integriti ketika mengendalikan siasatan.

Mohd Yusri berkata, pihaknya akan memastikan kes itu dapat disiasat secara baik dan telus bagi memastikan keluarga mangsa mendapat keadilan sepatutnya, selain menegaskan beliau tidak berkompromi dengan desakan mana-mana pihak dalam menegakkan keadilan bagi kes itu.

Beliau berkata, setakat ini tujuh saksi iaitu pelajar sekolah yang berada di lokasi kejadian dipanggil memberi keterangan bagi kes itu.

Katanya, polis turut mengalu-alukan saksi bebas atau orang ramai tampil membantu siasatan, selain pihaknya akan mendapatkan bukti visual seperti rakaman kamera litar tertutup (CCTV) daripada premis berhampiran.

“Setakat ini kes dalam siasatan dan ia akan melalui pelbagai sudut, termasuk melihat rakaman ‘dashcam’ (kamera papan pemuka kenderaan) atau melihat CCTV yang berada di persekitaran kawasan terbabit bagi membantu siasatan.

“Kertas siasatan akan dilengkapkan segera untuk dihantar kepada Timbalan Pendakwa Raya,” katanya. – Xklusif

Artikel Berkaitan

Back to top button