Pegawai Wisma Putra maut ketika mendaki EBC
Pendaki berkenaan berasal dari Ipoh, Perak dan punca kematian masih belum dapat dipastikan
PUTRAJAYA 31 Okt – Seorang rakyat Malaysia yang juga pegawai Kementerian Luar Negeri, Parthiban Kandasamy, 38, meninggal dunia ketika mendaki di Everest Base Camp (EBC) hari ini.
Menurut jurucakap Malawakil di Nepal, pihaknya menerima berita kematian pendaki itu pada jam 2.30 pagi waktu tempatan.
Pendaki berkenaan berasal dari Ipoh, Perak dan punca kematian masih belum dapat dipastikan.
Mendiang tiba di Kathmandu pada Jumaat lalu bersama seorang rakan, Balasuntharam Sinasamy dan berlepas ke Lukla untuk memulakan pendakian ke EBC pada keesokan harinya.
“Pada Isnin, mendiang dan Balasuntharam tiba di check point 14, Gurap Shep (5,160 meter dari aras laut) dan ketika di situ mendiang dilaporkan sesak nafas sebelum tidak sedarkan diri,” katanya.
Mendiang telah dibawa ke klinik berdekatan untuk pemeriksaan namun disahkan meninggal dunia.
Pihak Malawakil telah menghubungi waris keluarga di Malaysia bagi mendapatkan pengesahan berkenaan pengurusan mendiang.
Bapa mangsa telah memaklumkan untuk membawa pulang mendiang ke kediamannya di Ipoh, Perak. – Xklusif