Uncategorized

Pelaburan Elon Musk menguntungkan negara, tidak abai peluang syarikat tempatan – Anwar

Elon Musk mengadakan perbincangan dengan Anwar untuk membuka ibu pejabat syarikat di Cyberjaya tahun ini

KUALA LUMPUR 21 Ogos – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan peluang pelaburan yang diberikan kepada syarikat milik Elon Musk bukan bermaksud menafikan peluang kepada syarikat tempatan.

Dalam temu bual bersama CNBC, beliau menjelaskan, segala keistimewaan yang diperolehi oleh Space X dan Tesla pernah dilakukan sebelum ini terutama pelaburan melibatkan IT.

Anwar juga menafikan keistimewaan yang diberikan kepada syarikat milik Elon Musk itu mengabaikan syarikat tempatan kerana terdapat tiga syarikat tempatan terlibat dalam pelaburan yang dibuat Space X.

“Ini bukan perkara baharu. Ia telah diberikan kepada transformasi digital, untuk aktiviti dan pelaburan melibatkan IT.

“Kami telah lakukan sebelum ini, ia sangat selektif, ia bukan hanya untuk Elon Musk yang saya rasakan satu keperluan untuk memberikan keyakinan dan penglibatan negara ini.

“Yang menarik mengenai Space X, terdapat tiga syarikat tempatan terlibat,” katanya.

Mengulas lanjut, perdana menteri menjelaskan, Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) berpendapat kaedah yang digunakan itu lebih menguntung biarpun tidak mempunyai ekuiti.

Jelas beliau, syarikat-syarikat tempatan diberikan peluang untuk mengeluarkan bateri atau bahagian lain yang diperlukan Tesla dan Space X.

“Agak pramatang untuk saya nyatakan kerana mereka sedang mengusahakannya tetapi apa yang penting kami mempunyai kapasiti untuk mengeluarkan bateri atau bahagian lain yang diperlukan oleh kereta.

“MITI melihat secara keseluruhan proposal tersebut, adalah lebih menguntungkan berbanding 20 hingga 30 peratus ekuiti, itu yang kami lihat.

“Begitu juga dengan Geely-Proton, kerana terdapat bekalan peralatan. Seperti yang saya kata mengenai Space X, terdapat 3 pemain utama di sini.

“Jika Space X ingin beroperasi di sini tanpa sebarang ekuiti, saya berpendapat ia bukan masalah kerana kami mempunyai kapasiti untuk mengeluarkan alat ganti untuk Space X,” katanya lagi.

Sebelum ini Ketua Pegawai Eksekutif Tesla Inc, Elon Musk telah mengadakan perbincangan dengan perdana menteri berhubung pelaburannya di negara ini.

Dalam perbincangan tersebut, Musk dilaporkan menyatakan komitmennya untuk membuka ibu pejabat syarikat berkenaan di Cyberjaya tahun ini. – Awani

Ikuti Xklusif di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!

Artikel Berkaitan

Back to top button