Jenayah

Pelajar IPTA di Perlis rugi RM38,000 ditipu Macau ‘scam’

Pelajar itu terpedaya dengan dakwaan terlibat dalam siasatan kes pengubahan wang haram dan sindiket dadah melalui panggilan telefon semalam

KANGAR 1 Dis – Seorang pelajar institut pengajian tinggi awam (IPTA) di Arau mengalami kerugian RM38,000 dipercayai ditipu Macau Scam apabila terpedaya dengan dakwaan terlibat dalam siasatan kes pengubahan wang haram dan sindiket dadah melalui panggilan telefon semalam.

Ketua Polis Kangar, Yusharifuddin Mohd Yusop berkata Bahagian Siasatan Jenayah Komersil Kangar menerima laporan polis daripada lelaki 20 tahun itu semalam.

“Mangsa diperdaya apabila menerima panggilan telefon mendakwa terlibat dalam siasatan kes jenayah. Mangsa juga dinyatakan akan ditangkap oleh polis sekiranya gagal beri kerjasama bagi tujuan siasatan kes,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata mangsa kemudian memasukkan RM38,000 ke dua akaun bank berbeza, selepas menerima arahan suspek yang menyamar sebagai pegawai polis atas alasan untuk semakan akaun bank milik mangsa.

Katanya selepas memindahkan wang ke akaun itu, baru mangsa menyedari dia ditipu dan siasatan kes itu dijalankan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Orang ramai boleh membuat rujukan dan semakan berkaitan jenayah komersial menggunakan perkhidmatan disediakan Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Bukit Aman melalui National Scam Response Center (NSRC) di talian 997. – Xklusif

Ikuti Xklusif di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!

Artikel Berkaitan

Back to top button