Pelajar tahfiz perlu dipersiap hadapi Islamofobia – Perdana Menteri
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mahu golongan pelajar huffaz dipersiapkan dengan ajaran Islam yang sebenar bagi menghadapi kelompok Islamofobia dan pihak yang menanam kebencian atas nama Islam di negara ini.
Beliau berkata, hal ini kerana agama Islam di negara ini berada dalam persimpangan disebabkan kelompok itu yang mencemarkan kesuciannya.
“Sebab itu anak-anak (huffaz) sekalian terus tumpu dalam amalan kita. Yakin bahawa masa depan kita cemerlang. Tetapkan pendirian bahawa mesej Islam ini mesej kebenaran, risalah Islam ini risalah keadilan, menyatukan dan penuh dengan rahmah dan kasih sayang, ini yang harus kita tetapkan.
“Kita faham hak bukan Islam tetapi jangan dia bawa fahaman barat Islamofobia, tak boleh sebut pasal Islam. Jadi, kita harus berdepan pihak ini,” katanya.
Anwar berkata demikian ketika berucap pada Majlis Himpunan 24K Huffaz di Masjid Wilayah Persekutuan di sini hari ini.
Yang turut hadir Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Dr. Mohd Na’im Mokhtar.
Kira-kira 24,000 huffaz dari kalangan pelajar, mahasiswa, tenaga pengajar dan sekolah pondok menyertai himpunan terbesar setakat ini.