Pelajar tingkatan 3 ditahan rogol budak 12 tahun di Melaka
Kejadian kira-kira pukul 4 petang itu terbongkar selepas mangsa menceritakan kejadian itu kepada ibunya berusia 43 tahun sebelum membuat laporan polis awal pagi tadi
JASIN 5 Feb – Seorang pelajar tingkatan tiga ditahan polis selepas dipercayai merogol seorang kanak-kanak perempuan berusia 12 tahun di sebuah rumah di Bemban di sini Sabtu lalu.
Ketua Polis Daerah Jasin, Deputi Superintendan Ahmad Jamil Radzi berkata, kejadian kira-kira pukul 4 petang itu terbongkar selepas mangsa menceritakan kejadian itu kepada ibunya berusia 43 tahun sebelum membuat laporan polis awal pagi tadi.
Menurutnya, siasatan mendapati suspek sama pernah melakukan amang seksual fizikal terhadap kanak-kanak sama di sebuah rumah di Bemban sekitar 4 petang pertengahan tahun lalu.
“Kemudian kira-kira pukul 4 hingga 5 petang Sabtu lalu, semasa berada di sebuah rumah di Bemban, suspek didakwa telah melakukan amang seksual fizikal dan merogolnya.
“Dalam kejadian terbaru berlaku kira-kira pukul 5 pagi semalam, suspek mengambil kanak-kanak perempuan itu yang dikenali melalui rakannya di rumah atuknya di Bemban, Jasin dan membawa ke rumahnya di Chohong.
Tambah Ahmad Jamil, menyedari laporan polis dibuat terhadapnya oleh ibu mangsa, suspek kemudian datang menyerah diri di Balai Polis Jasin kira-kira pukul 4 pagi tadi.
“Majistret Mohd Firdaus Salleh di Mahkamah Jasin hari ini membenarkan permohonan reman selama tujuh hari ke atas suspek sehingga 11 Februari ini.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 376 (1) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan, jika sabit kesalahan,” katanya. – MalaysiaGazette