Berita

Pelantikan ahli JKMR manifestasi kerajaan Madani banteras rasuah

Sebanyak lima ahli JKMR dilantik bagi tempoh tiga tahun berkuat kuasa hari ini.

KUALA LUMPUR 28 Nov. – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan pelantikan lima Ahli Jawatankuasa Khas Mengenai Rasuah (JKMR) hari ini sebagai manifestasi Kerajaan MADANI untuk terus beriltizam dengan segala usaha dan kudrat bagi membanteras gejala rasuah di negara ini.

Anwar, yang juga Menteri Kewangan, berharap Ahli JKMR bagi tempoh tiga tahun berkuat kuasa 9 Oktober lalu hingga 8 Oktober 2026 itu dapat mengalas tanggungjawab besar yang diamanahkan dengan penuh adil, tawaduk dan saksama.

“Saya percaya Ahli JKMR Sesi 2023-2026 akan terus istiqamah dan beroleh hikmah untuk melaksanakan tugas memerangi gejala rasuah yang kian membarah.

“Intiha penerimaan watikah ini, didoakan segala usaha murni kita ini mendapat keberkatan daripada-Nya,” menurut beliau dalam hantaran di laman Facebook hari ini.

Terdahulu, beliau menyampaikan watikah pelantikan itu kepada Yang Dipertua Dewan Negara, Tan Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar selaku Pengerusi JKMR; Ahli Parlimen Paya Besar, Datuk Mohd Shahar Abdullah; Ahli Parlimen Batang Lupar, Mohd Shafizan Kepli; Ahli Parlimen Tawau, Lo Su Fui dan Ahli Parlimen Bentong, Young Syefura Othman di Bangunan Parlimen di sini.

Ia disaksikan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Tan Sri Azam Baki.

Pejabat Yang Dipertua Dewan Negara dalam kenyataan memaklumkan mereka telah dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong dengan peranan menasihati Perdana Menteri mengenai pelbagai aspek berhubung masalah rasuah dalam negara dan memeriksa Laporan Tahunan SPRM. — Awani

Ikuti Xklusif di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!

Artikel Berkaitan

Back to top button