Politik

Pelantikan Lokman Adam ‘luar tabie’

KUALA LUMPUR 1 Jun – Pelantikan Datuk Lokman Noor Adam sebagai Ketua Pengarah Media Perpaduan disifatkan ‘luar tabie’ iaitu bertentangan dengan pendiriannya yang lantang mengecam Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum dilantik menjadi Perdana Menteri ke-10.

Perkara itu disuarakan Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu Dr Muhammad Faiz Na’aman yang turut mempersoalkan apakah tiada tokoh kepimpinan dari Pakatan Harapan (PH) yang lebih layan untuk menerajui organisasi tersebut.

“Pelantikan itu dilihat amat luar tabie sekali kerana sosok Lokman Adam inilah yang begitu lantang menghentam malah mencerca keperibadian Anwar Ibrahim sebelum Anwar menjadi PMX.

“Tidak sukar untuk rakyat di luar sana mencari kembali video ceramah serta kenyataan dari Lokman yang mengeji Anwar hingga ke Pilihan Raya Umum (PRU) lalu yang bertebaran di media sosial untuk tatapan anak cucu mereka.

“Apakah dalam PKR sendiri sudah ketiadaan tokoh yang lebih berwibawa untuk menerajui pasukan media propaganda kerajaan campuran Umno-DAP ini?” soalnya dalam kenyataan, hari ini.

Kelmarin, Perdana Menteri menyempurnakan pelancaran media Kerajaan Perpaduan di Semenyih yang turut mengumumkan Lokman sebagai peneraju organisasi tersebut.

“31 Mei 2023 (semalam) berlangsungnya majlis pelancaran Media Perpaduan oleh PMX kononnya untuk mengumpulkan tentera-tentera siber Umno-DAP bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri di Kelantan, Terengganu, Selangor, Kedah, Negeri Sembilan dan Pulau Pinang.

“Tiada yang aneh melihat gelak ketawa para pemimpin Parti Keramat bersama kelompok ultra liberal yang membentuk kerajaan ‘minyak turun’ hari ini.

“Namun apa yang menghairankan ialah pelantikan Lokman Adam untuk mengepalai Media Perpaduan tersebut oleh PMX,” katanya. – Xklusif

Artikel Berkaitan

Back to top button