Berita

Pelarasan tarif air baharu dibuat untuk manfaat rakyat

Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) menetapkan petunjuk prestasi utama (KPI) kepada operator air seluruh negara.

KUALA LUMPUR 17 Jan. – Kadar pelarasan tarif air baharu di Semenanjung dan Wilayah Persekutuan, tidak dibuat secara ‘suka-suka’, sebaliknya dilaksanakan atas permintaan operator pembekalan dan negeri bagi meningkatkan perkhidmatan untuk manfaat rakyat.

Selaras dengan pelaksanaan tarif baharu itu yang berkuatkuasa 1 Februari ini, Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) menetapkan petunjuk prestasi utama (KPI) kepada operator air seluruh negara.

Timbalan Menteri Peralihan Tenaga dan Daya Guna Awam, Akmal Nasrullah Mohd Nasir berkata kegagalan operator mematuhi KPI ditetapkan itu, boleh menyebabkan mereka dikenakan tindakan termasuk penarikan semula lesen selain denda.

“Sekiranya berlaku sebarang pelanggaran pematuhan oleh operator air, SPAN mempunyai ruang untuk mengambil tindakan terhadap mereka.

“Contohnya dalam kerja balik pulih berjadual di Pulau Pinang, kerajaan negeri memohon sejak tahun lepas untuk mendapatkan kebenaran. Jadi kami lihat sama ada ia mengikut jadual kerana jika ada perlanggaran, ia dikenakan tindakan.

“Dalam pelarasan ini, jika kita tengok, dari segi perkhidmatan adalah tidak sekata. Ada negeri baik, malah ada juga yang menghadapi masalah kerana soal kewangan mereka yang terhad.

“Maka dari segi pelarasan ini, ia bukan suka-suka. Namun ia dimohon oleh operator dan kita ikat semula dengan komitmen mereka untuk menambah baik mutu perkhidmatan.

“Cabarannya bukan sahaja mengumumkan pelarasan air namun mutu perkhidmatan yang ditambahbaik.

“KPI itu berdasarkan apa yang dimohon, munasabah atau tidak dan dalam tempoh ditetapkan. Jika tidak dibuat penambahbaikan ia memudahkan pertimbangan seterusnya,” katanya dalam taklimat media di sini, semalam.

Hadir sama Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian Peralihan Tenaga dan Daya Guna Awam (Air dan Pembetungan), Datuk Razali Mohamad dan Pengerusi SPAN, Charles Santiago.

Tarif baharu air bagi kategori domestik di Semenanjung dan Wilayah Persekutuan Labuan membabitkan kenaikan purata sebanyak 22 sen bagi setiap meter padu.

KPI yang akan dipantau SPAN, antaranya membabitkan kadar indeks gangguan air, pemulihan kerosakan paip, tekanan air dan tempoh siap projek penambahbaikan infrastruktur termasuk tambahbaik atau pembinaan loji baharu.

Pemantauan KPI turut membabitkan kadar masalah air tidak terhasil (NRW) dan aduan bekalan air, yang ditetapkan berdasarkan rancangan perniagaan selaras pembangunan infrastrutkur, namun ia berkait dengan aspek kewangan.

Pada masa sama, Akmal berkata dari segi kebimbangan tempoh masa projek, bagi perbelanjaan modal (CAPEX) dinikmati, ia mungkin mengambil masa beberapa tahun dengan sasaran itu ditetapkan secara berkala.

“Contohnya di Kelantan, kita tahu masalah agak ketara dari segi mutu. Jadi bagaimana kita hendak pastikan projek itu berjalan… jadi kita kena lihat tujuan mereka melakukan penambahbaikan infrastruktur adalah menuju ke sasaran terbabit.

“Ini juga peluang bagi kerajaan untuk melihat perkhidmatan operator melalui pelarasan tarif air baharu yang ditetapkan ini,”katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif SPAN, Datuk Ahmad Faizal Abdul Rahman berkata berdasarkan Seksyen 10, Akta Industri Perkhidmatan Air 2006 (Akta 655), SPAN boleh mengawal selia operator termasuk mengenakan tindakan jika mereka tidak mematuhi KPI ditetapkan.

Katanya, sehingga kini belum ada mana-mana lesen syarikat operator air yang ditarik balik namun sekiranya itu berlaku, SPAN boleh mengambil alih dan menggantikan pihak yang bersesuaian untuk meneruskan operasi.

“Berdasarkan Seksyen 10, Akta Industri Perkhidmatan Air 2006 (Akta 655), SPAN boleh menetapkan KPI kepada semua operator merangkumi teknikal dan apa yang kita nak mereka patuh.

“Ada beberapa hukuman jika mereka tidak patuh. Antaranya lesen mereka ditarik balik, ada cara untuk kita kawal selia. Melalui akta itu, SPAN dibenarkan melantik sesiapa sahaja untuk mengambil alih.

“Sebelum ini, operator mengatakan tidak mampu membayar kos operasi dan meningkatkan perkhidmatan (sebab tarif air rendah) keranan tiada kemampanan kewangan. Jadi kita beri ruang untuk mereka meningkatkan tahap kewangan mereka.

“Maka kita mahu melihat dengan peluang ini, perkhidmatan bekalan air dapat ditingkatkan. Jika tidak, dengan izin, menteri kita boleh mengambil tindakan yang drastik,” katanya. — Berita Harian

Ikuti Xklusif di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!

Artikel Berkaitan

Back to top button