Pelepasan bankrup, ini tiga kategori yang layak memohon
Kerajaan berhasrat untuk meminda Akta Insolvensi 1967 (Akta 360).

KUALA LUMPUR 28 Feb – Pembentangan Belanjawan 2023 pada Jumaat lalu oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ada menyentuh mengenai dasar kerajaan untuk memberikan peluang kedua kepada rakyat yang diisytiharkan bankrap.
Selaras dengan itu, mulai esok, kerajaan berhasrat untuk meminda Akta Insolvensi 1967 (Akta 360) dengan membuat penambahbaikan kepada peruntukan pelepasan secara automatik agar bankrap boleh dilepaskan daripada kebankrapan dalam tempoh yang singkat.
Sementara menunggu pindaan berkenaan, kerajaan telah mengambil inisiatif untuk membantu rakyat yang bankrap dengan jumlah hutang berskala kecil dilepaskan daripada kebankrapan.
Ini tiga tiga kategori kes kebankrapan yang akan diberikan pertimbangan pelepasan:
1. Bankrup lebih lima tahun
Bagi kategori pertama ini, pengisytiharan kebankrapan telah pun melepasi tempoh lima tahun dari tarikh perintah penerimaan dan perintah penghukuman/perintah kebankrapan.
Sekiranya tempoh berkenaan tidak melebihi lima tahun, maka individu yang diisytiharkan bankrup tidak layak menerima pelepasan.
2. Jumlah hutang kurang dari RM50,000
Kedua, jumlah hutang yang diperakukan atau baki hutang yang terlibat tidak melebihi RM50,000.
Ini juga menjadi kelegaan kepada rakyat yang terpaksa membawa beban bankrup biarpun baki hutang yang ditanggung sudah berkurangan.
3. Tiada perintah mahkamah
Bagi mereka yang tidak berdepan perintah mahkamah, prosiding mahkamah atau prosiding penyiasatan juga layak memohon pelepasan daripada bankrup.
Ia tertakluk mengikut Akta 360 yang tidak menghalang pelepasan diberi melalui Sijil Ketua Pengarah Insolvensi.
Individu bankrap yang berada dalam tiga kategori berkenaan boleh membuat permohonan pelepasan kepada cawangan MdI yang mentadbir kes kebankrapan mereka.
Individu terbabit boleh hadir atau menghantar surat atau e-mel kepada cawangan yang terlibat untuk menyemak status kes kebankrapannya. Maklumat lanjut berkenaan permohonan pelepasan ini juga boleh diperolehi di laman web rasmi MdI.
Bankrap digalakkan untuk mengakses set soalan lazim berhubung pelepasan melalui sijil Ketua Pengarah Insolvensi mengikut Seksyen 33A Akta Akta 360 bagi kategori bankrap dengan hutang berskala kecil di laman web rasmi www.mdi.gov.my untuk mendapatkan maklumat diperlukan.