(VIDEO) Pemandu lori kren TNB maut dihempap kontena di Alor Setar
Pemandu lori kren itu dipercayai bergerak dari Alor Setar ke Sungai Petani
ALOR SETAR 13 Sept – Seorang pemandu lori Tenaga Nasional Berhad (TNB) maut selepas lori kren yang dipandunya dihempap sebuah treler Scania di Batu 9, Kota Sarang Semut, Jalan Alor Setar – Sungai Petani, di sini hari ini.
Mangsa yang maut dikenali sebagai Hasbullah Mohd Salleh, 38, yang berasal dari Parit Panjang, Baling.
Difahamkan, mangsa dipercayai baru bertukar dari Langkawi ke TNB Kota Setar pada 3 September lalu.
View this post on Instagram
Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Ahmad Shukri Mat Akhir berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kemalangan itu pada jam 4.15 pagi oleh Balai Polis Trafik Kota Setar membabitkan sebuah treler dengan sebuah lori.
Beliau berkata, hasil siasatan awal mendapati treler terbabit dipercayai bergerak dari arah Alor Setar ke Sungai Petani manakala lori kren yang dipandu mangsa dari arah bertentangan.
“Treler yang dipandu lelaki berusia 27 tahun itu hilang kawalan dan bahagian kontena lori masuk ke laluan bertentangan lalu bertembung dengan bahagian hadapan lori kren TNB yang bergerak dari arah bertentangan.
“Pemandu lori kren TNB disahkan meninggal dunia di tempat kejadian dan mayat mangsa dibawa ke Jabatan Forensik Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) untuk bedah siasat,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Ahmad Shukri berkata, siasatan lanjut masih diteruskan dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.
“Bagaimanapun pemandu treler itu mengalami luka ringan di sebelah kaki kiri,” katanya.
Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Jalan Raja, Penolong Penguasa Bomba Wan Azizul Hakim Wan Jaafar berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada jam 4.11 pagi tadi.
Beliau berkata, sepasukan anggota dari BBP Jalan Raja yang diketuai Pegawai Bomba Kanan (PBK) II Salim Abdul Razak bersama tujuh anggota tiba di lokasi kejadian tidak lama kemudian.
“Mangsa berjaya dikeluarkan pada jam 9.17 pagi dan diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut,” katanya. – Berita Harian