Berita

Pemandu maut, penumpang cedera selepas kereta terbakar di NPE

KUALA LUMPUR: Seorang pemandu maut manakala penumpangnya mengalami kecederaan ringan selepas kereta mereka terbabas dan terbakar di Km14.9 Lebuhraya Pantai Baru (NPE) sekitar jam 8 pagi tadi.

Pemangku Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Kuala Lumpur, Rozihan Anwar Mamat, berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenai kejadian itu pada jam 8.28 pagi.

“Pasukan terdiri daripada sembilan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Seputeh dihantar ke lokasi kejadian bersama sebuah jentera penyelamat kebakaran dan van perkhidmatan kecemasan perubatan.

Setibanya di lokasi, kami mendapati sebuah kereta Toyota Vios sedang terbakar, yang dipercayai akibat hentakan dari kemalangan tersebut,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau menambah bahawa lelaki yang cedera telah dihantar ke Pusat Perubatan Universiti Malaya manakala mayat pemandu diserahkan kepada pihak polis.

Difahamkan bahawa pemandu yang lalu lalang berhenti dan membantu menarik keluar kedua-dua lelaki itu dari kereta sebelum ia dijilat api. Kedua-dua lelaki tersebut dipercayai mempunyai pertalian keluarga.

Seorang jurucakap Lembaga Lebuhraya Malaysia, ketika dihubungi Bernama, berkata kemalangan tersebut menyebabkan kesesakan lalu lintas di lebuh raya berkenaan.

Artikel Berkaitan

Back to top button