Berita

Pembantu rumah ditahan didakwa tanam mayat bayi belakang rumah jiran

Wanita warga Indonesia itu ditahan sehari selepas penemuan mayat bayi itu.

KUALA LUMPUR 3 Jan. – Seorang pembantu rumah ditahan Ahad lalu susulan penemuan mayat bayi di belakang rumah di Taman Mutiara, Kangar, Perlis pada Sabtu lalu.

Ketua Polis Kangar, Yusharifuddin Mohd Yusop berkata warga Indonesia yang juga ibu tunggal 24 tahun itu ditahan polis sehari selepas seorang guru menemui mayat bayi lelaki di belakang rumahnya.

Katanya, lelaki itu membuat laporan selepas menemui mayat disyaki bayi berbungkus kain putih yang sudah berulat dan pemeriksaan polis mendapati bayi masih bertali pusat itu tertanam dalam tanah berkedalaman 0.127m atau 5 inci.

“Hasil pemeriksaan lanjut mendapati mayat bayi itu adalah lelaki yang cukup sifat berukuran 46cm,” katanya.

Beliau berkata, mayat bayi itu adalah anak suspek sendiri yang dilahirkannya di bilik air rumah di Taman Mutiara pada 20 Dis lalu, tetapi wanita terbabit menyedari tiada sebarang pergerakan ketika memandikan anaknya.

Katanya, suspek yang panik bertindak menggali tanah di belakang rumah jirannya pada 6.30 pagi 21 Dis lalu sebelum menanam mayat anaknya.

Yusharifuddin berkata, mayat bayi itu dibawa ke Unit Forensik Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar untuk dibedah siasat pada 31 Dis lalu.

Katanya, reman suspek yang berakhir hari ini dilanjutkan dua hari lagi sehingga Jumaat ini untuk disiasat mengikut Seksyen 318 Kanun Keseksaan kerana menyembunyikan kelahiran. — FMT

Ikuti Xklusif di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!

Artikel Berkaitan

Back to top button