Berita

Pembinaan tambahan struktur rumah boleh dipenjara

Perkara itu ditegaskan Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming.

KUALA LUMPUR 30 Nov. – Mana-mana pembinaan tambahan struktur yang boleh mengundang risiko bahaya kebakaran termasuk melakukan ubah suai melampau dengan menambah ruang bilik sewa sempit seakan ‘liang lahad’ boleh diambil tindakan di bawah Akta Bomba.

Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming berkata, antara akta yang boleh digunakan adalah Akta Jalan Parit dan Bangunan 1974 serta Akta Perkhidmatan Bomba 1988.

Menurutnya, undang-undang sedia ada telah mencukupi bagi menangani pembinaan bangunan tambahan tanpa izin.

“Soalnya adalah tentang penguatkuasaan undang-undang. Setiap pembinaan perlu mendapatkan kelulusan daripada pihak berkuasa tempatan (PBT).

“Setiap kesalahan boleh didenda sehingga RM50,000, penjara tiga tahun dan sekiranya kesalahan itu berterusan setiap hari, dendanya boleh digandakan RM100 setiap hari,” katanya di Dewan Rakyat pada Khamis.

Beliau berkata demikian menjawab soalan tambahan Afnan Hamimi Taib Azamudden (PN-Alor Setar) yang bertanyakan mekanisme pemantauan digunakan oleh pihak kementerian terhadap pembinaan bangunan tambahan bagi mengelakkan risiko kebakaran dan ancaman keselamatan terhadap penduduk sekitar.

Afnan Hamimi turut bertanya adakah pihak kementerian bercadang bagi mewajibkan penghuni atau pemilik bangunan untuk mengikuti kursus berkaitan undang-undang.

Kor Ming berkata, pihaknya juga sentiasa komited bagi memastikan bangunan dan rumah yang didiami oleh penduduk berada dalam keadaan selamat.

Sinar Harian sebelum ini melaporkan wujud bilik sewa kapsul seperti ‘sangkar burung’ yang hanya memuatkan sebuah tilam dengan sewa RM300 sebulan.

Bilik sewa yang turut mengabaikan aspek keselesaan dan keselamatan itu semakin bercambah ekoran sikap pemilik rumah yang mahu mengaut keuntungan berlipat ganda. — Sinar Harian

Ikuti Xklusif di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!

Artikel Berkaitan

Back to top button