Pemerintahan Al-Sultan Abdullah sebagai Agong tamat 30 Januari 2024
Al-Sultan Abdullah bertitah walaupun menempuh pelbagai peristiwa dan badai gelora, Raja-Raja Melayu sentiasa membantu mencari jalan penyelesaian terbaik demi kesejahteraan rakyat jelata

KUALA LUMPUR 26 Okt – Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah hari ini menzahirkan penghargaan atas sokongan Raja-Raja Melayu yang membolehkan pelbagai peristiwa dan dugaan melanda negara sepanjang tempoh lima tahun sejak 2019 dapat diatasi Seri Paduka.
Al-Sultan Abdullah, yang bakal menamatkan pemerintahan sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-16 pada 30 Januari tahun depan, bertitah walaupun menempuh pelbagai peristiwa dan badai gelora, Raja-Raja Melayu sentiasa membantu mencari jalan penyelesaian terbaik demi kesejahteraan rakyat jelata.
“Sama ada ketika berhadapan kemelut politik dan pandemik Covid-19, sepanjang Paduka Adinda memerintah negara; Paduka Adinda sentiasa menjunjung sumpah yang telah dilafazkan iaitu untuk memerintah Malaysia yang kita cintai ini dengan secara adil menurut peruntukan Perlembagaan Persekutuan dengan sepenuh ketelusan hati.
“Paduka Adinda juga amat bersyukur dan berterima kasih di atas kesudian Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja Melayu berangkat ke Istana Negara untuk berbincang dan bersama berganding bahu dalam melontar buah pandangan yang bernas demi untuk membantu dalam mencapai jalan penyelesaian buat negara dan kesejahteraan rakyat jelata,” titah Seri Paduka.
Al-Sultan Abdullah bertitah demikian pada hari kedua Mesyuarat Majlis Raja-Raja ke-262 di Istana Negara pada Khamis.
Mesyuarat yang berlangsung sejak semalam dipengerusikan Sultan Johor Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar. – Bernama