Pemilihan pengendali Projek NIISe haruslah dilakukan dengan bijak dengan mengambil kira semua aspek

Dalam usaha memodenkan dan meningkatkan sistem pengurusan imigresen negara, Projek Sistem Imigresen Bersepadu Nasional (NIISe) oleh Jabatan Imigresen Malaysia merupakan salah satu inisiatif terbesar dan terpenting yang sedang dipertimbangkan.
Projek ini tidak hanya melibatkan pembangunan infrastruktur IT yang canggih, tetapi juga menjanjikan integrasi teknologi yang merangkumi keselamatan dan efisiensi dalam pengurusan imigresen. Kontrak NIISe antara lain melibatkan penyepaduan data daripada 13 modul sistem kawalan sempadan sedia ada, termasuk segmen pekerja asing, sistem saringan penumpang lanjutan, biometrik muka dan cap jari, pas lawatan profesional, pasport dan dokumen perjalanan.
Isu keselamatan amat kritikal dalam projek ini. Seperti yang di maklumkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada pelancaran Bulan Keselamatan Negara 2024 baru baru ini, beliau berkata ada keperluan untuk menambah baik sistem keselamatan demi kedaulatan negara.
Oleh yang demikian, penulis berpendapatan penyedia perkhidmatan harus mempunyai kapasiti dan keupayaan yang diperlukan agar tidak ada ketirisan dalam pengendalian projek NIISe ini.
Para pembida projek ini harus mempunyai rekod cemerlang dengan pengalaman luas dalam melaksanakan projek sebegini serta telah membuktikan kemampuan mereka dalam menguruskan projek besar dengan jayanya.
Difahamkan, tiga syarikat HeiTech Padu Bhd (HeiTech), Theta Edge Bhd (Theta Edge) dan Dagang NeXchange Bhd (DNeX) telah dipanggil untuk taklimat tender seperti yang dilaporkan pada artikel The Edge bertarikh 4 Mac lalu, menunjukkan mereka telah disenarai pendek daripada lebih 10 syarikat yang mengemukakan cadangan projek itu, yang sepatutnya bernilai di bawah RM1 bilion.
HeiTech dilihat sebagai mempunyai kebolehan dalam memenuhi keperluan teknikal dan juga telah menunjukkan kemahiran dalam menangani isu-isu keselamatan dari projek terdahulu dan menonjolkan keupayaan mereka dalam menyelesaikan cabaran yang mungkin dihadapi dalam pelaksanaan sistem imigresen yang kompleks.
Walaupun HeiTech mempunyai kelebihan tersendiri, pesaing-pesaing lain seperti Theta Edge Bhd turut mempunyai peluang untuk merebut kontrak ini. Theta Edge, yang baru-baru ini dianugerahi projek bernilai RM673.8 juta untuk pembangunan IoT di Ampang Jaya, menunjukkan komitmennya dalam sektor teknologi, tetapi persoalan mengenai keupayaan mereka untuk mengendalikan projek mega lain masih berbangkit.
Sementara itu DNex pula perlu memastikan bahawa mereka mampu mengendali projek mega tanpa mengorbankan kualiti atau prestasi projek bernilai tinggi ini.
Meskipun setiap pembida mempunyai kekuatan tersendiri, pertimbangan terhadap kebolehan dan prestasi terdahulu dalam projek-projek berkaitan imigresen seharusnya diberikan keutamaan. Keterlibatan mereka dalam projek-projek kerajaan yang berjaya menunjukkan bahawa mereka mempunyai keupayaan untuk melaksanakan projek Sistem Imigresen Bersepadu Nasional dengan standard tertinggi yang diperlukan.
Kepentingan dalam keputusan ini akan memberi kesan yang besar kepada masa depan sistem imigresen negara, dan memilih syarikat dengan rekod prestasi yang baik dan keupayaan kewangan yang stabil adalah langkah yang bijak untuk memastikan kejayaan projek ini.
MEJA PENGARANG
xKlusif