Politik

Pemimpin DAP diingatkan hati-hati keluar kenyataan berkaitan agama

Perkara itu ditegaskan Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke.

KUALA LUMPUR 4 Jan. – Semua pemimpin DAP diingatkan sekali lagi supaya berhati-hati dalam mengeluarkan kenyataan terutama melibatkan isu agama.

Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook berkata, parti itu mempunyai mekanisme bagi memastikan isu sebegitu tidak berulang lagi, namun kenyataan Ahli Parlimen DAP Beruas, Datuk Ngeh Koo Ham baru-baru ini adalah satu kekhilafan.

“Saya dah bagi peringatan kepada semua pimpinan supaya berhati-hati dalam membuat apa saja kenyataan terutama yang melibatkan isu agama.

“Ini merupakan peringatan berterusan daripada saya dan kita juga ada mekanisme dalam parti supaya perkara ini tidak berulang,” katanya ketika ditemui pemberita selepas hadir menyampaikan sumbangan di Sekolah Menengah Kebangsaan St Paul di sini pada Khamis.

Beliau berkata demikan mengulas mengenai pihak pembangkang yang berterusan memainkan isu kekhilafan pemimpin DAP terbabit.

Jelas Ahli Parlimen Seremban itu, Koo Ham telah pun menarik balik kenyataannya selain memohon maaf secara terbuka atas kesilapannya mengeluarkan kenyataan itu.

Bagaimanapun katanya, pembangkang berterusan memainkan isu tersebut untuk menyerang kerajaan kononnya kerajaan hari ini didominasi oleh DAP dan sebagainya.

“Ini modal lama mereka. Memang saya dah katakan kenyataan dikeluarkan Koo Ham itu adalah satu kekhilafan dan tak sepatutnya dikeluarkan kerana beliau tak tahu latar belakang pembentukan jawatankuasa itu dan kita dah ambil tindakan sepatutnya.

“Kita juga tahu yang mereka (pembangkang) akan cuba polimikkannya.

“Mereka lihat ini sebagai modal untuk terus memburukkan kerajaan seolah-olah DAP mendominasi,” katanya.

Ujarnya, kerajaan yang ada hari ini adalah Kerajaan Perpaduan dan parti itu akan terus bekerjasama untuk memastikan segala dasar dapat dilaksanakan demi kebaikan dan kesejahteraan semua.

Oleh sebab itu kata Loke Siew Fook, beliau tidak pelik apabila pembangkang terus memainkan isu tersebut.

“Dia dapat satu isu, dia akan cuba maksimumkan ‘value’ politik dia. Kita dah agak apa respons dan tindakan mereka,” katanya.

Media baru-baru ini melaporkan Koo Ham mengemukakan cadangan supaya kerajaan melantik pakar daripada masyarakat bukan Islam untuk membantu Jawatankuasa Khas Mengkaji Kompetensi Dewan Undangan Negeri (DUN) Untuk Menggubal Undang-Undang Islam

Beliau dipetik berkata, Perlembagaan Negara dibentuk dengan mengambil kira kepentingan semua golongan, maka sebarang perubahan yang memberi kesan kepada kaum dan agama mesti dibincang secara menyeluruh. — Sinar Harian

Ikuti Xklusif di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!

Artikel Berkaitan

Back to top button