(VIDEO) Pemimpin pembangkang Korea Selatan ditikam
Jae-myung dari Parti Demokrat diserang seorang lelaki yang tidak dikenali ketika melawat tapak lapangan terbang yang sedang dalam peringkat cadangan
SEOUL 2 Jan – Pemimpin pembangkang Korea Selatan, Lee Jae-myung ditikam di leher ketika sedang melawat bandar pelabuhan selatan Busan, hari ini, lapor agensi berita Yonhap.
Jae-myung dari Parti Demokrat diserang seorang lelaki yang tidak dikenali ketika melawat tapak lapangan terbang yang sedang dalam peringkat cadangan.
Penyerang itu dilihat sebagai seorang lelaki berusia lingkungan 50-an atau 60-an. Dia mendekati Jae-myung untuk meminta autograf dan kemudian dengan tiba-tiba menerjah ke hadapan dan menyerang pemimpin itu.
View this post on Instagram
Yonhap melaporkan, penyerang itu segera ditumpaskan dan ditangkap di tempat kejadian.
Klip video di saluran televisyen YTN dan satu lagi klip yang disiarkan di X memaparkan serangan itu, dengan seorang lelaki menerkam ke arah Jae-myung ketika menghulurkan tangannya, sebelum Jae-Myung rebah.
Gambar yang disiarkan dalam berita menunjukkan pemimpin itu terbaring di atas tanah dengan mata tertutup, dengan orang lain menekan sapu tangan pada bahagian lehernya. Beliau kemudian dibawa ke hospital.
Walaupun terdapat sekatan ketat ke atas pemilikan senjata, Korea Selatan mempunyai sejarah keganasan politik yang membabitkan pelbagai jenis senjata lain.
Pemimpin parti pembangkang konservatif Park Geun-hye, yang kemudian berkhidmat sebagai presiden, pernah diserang pada satu acara pada 2006 dengan pisau dan mengalami luka di mukanya yang memerlukan pembedahan.
Sementara itu, Presiden Korea Selatan, Yoon Suk-yeol menyatakan `kebimbangan yang mendalam’ terhadap keadaan Jae-myung.
“Suk-yeol menyatakan `kebimbangan mendalam’ terhadap keselamatan Jae-myung apabila mendengar serangan itu.
“Beliau menekankan kepada masyarakat bahawa kita tidak boleh bertolak ansur dengan tindakan keganasan seperti ini dalam apa jua keadaan,” kata jurucakapnya, Kim Soo-kyung. – REUTERS