Politik

Pemimpin PN suka lawan Raja-raja Melayu – Anwar

KUALA LUMPUR 3 Ogos – Pengerusi PH, Anwar Ibrahim menyifatkan pemimpin Perikatan Nasional (PN) gemar melawan Raja-raja Melayu berdasarkan kenyataan beberapa tokohnya.

Anwar berkata, terbaru Pengerusi PN, Muhyiddin Yassin menyentuh isu kalimah Allah meskipun perkara itu telah ditegah oleh Raja-raja Melayu.

Bahkan kata Anwar, Sultan Selangor yang mempengerusikan Majlis Kemajuan Islam (MKI) telah bertitah supaya isu kalimah Allah tidak dijadikan modal politik.

“Apa yang tukarnya, apa perubahan isu Allah dua tahun lepas dan sekarang, sama. Orang Melayu Islam boleh guna (kalimah) Allah orang bukan Islam tak boleh. Jadi apa salahnya, sebab kita tak saman di mahkamah.

“Dua hari sebelum berangkat ke London, Tuanku Sultan Selangor sebut lagi pada saya kita ada mesyuarat MKI hujung bulan Ogos kita akan perkemaskan lagi isu kalimah Allah dan pesan baginda jangan jadikan ini isu politik.

“Raja-raja Melayu pesan jangan jadikan kalimah Allah isu politik, kerana Raja-raja akan perkemaskan. Tapi apa Muhyiddin kata, mereka bangkitkan lagi isu kalimah Allah.

“Jadi mereka ini soal lawan raja terus terang, sebelum Sultan Selangor murka sebab seorang menteri besar singgung raja-raja,” katanya ketika berucap pada ceramah di Taman Tuanku Jaafar, di Seremban, malam ini.

Hadir sama Menteri Besar sementara Negeri Sembilan, Aminuddin Harun. — MalaysiaKini

Artikel Berkaitan

Back to top button