Berita

Pemuda UMNO dedah kartel beras khianat rakyat

Pemuda UMNO menyifatkan kartel itu menukar beras tempatan menjadi beras hancur.

KUALA LUMPUR 2 Okt. – Ketua Pemuda UMNO, Dr Mohd Akmal Saleh mendedahkan mengenai pengkhianatan dilakukan kartel beras dengan mendakwa beras tempatan sudah bertukar menjadi beras hancur.

Beliau menjelaskan, disebabkan beras hancur boleh dijual dengan bukan harga kawalan, maka kartel beras menjual beras standard pada harga beras hancur.

“Jika harga beras tempatan ditetapkan pada RM2.60 per kilogram tetapi kartel ini menjual dengan harga RM3.40 per kilogram apabila menukarkan bil jualan mengikut harga beras hancur.

“Inilah antara pengkhianat yang menekan rakyat di bawah,” katanya pada hantaran dalam Facebook.

Justeru, beliau menyarankan diwujudkan semula Lembaga Padi dan Beras bagi menangani krisis bekalan beras yang meruncing ketika ini.

Beliau berkata, penubuhan semula lembaga terbabit wajar dilakukan sebagai usaha penguatkuasaan yang ketat dan total untuk mengatasi “pengkhianatan” kartel beras terhadap rakyat.

“Kerajaan sudah beri pelbagai subsidi untuk memastikan beras tempatan ini dijual dengan harga yang rendah, tetapi mereka (kartel) ini mengkhianati kita semua.

“Beras tempatan ada, tetapi ia dikhianati puak-puak ini dan akhirnya rakyat yang menderita,” katanya.

Pada masa sama, beliau memberi amaran kepada kartel terbabit supaya sentiasa beringat bahawa tindakan mereka diketahui.

“Jangan ingat kilang di luar Melaka kita tidak ada maklumat.

“Nasib baik kilang ini di luar Melaka, jika dalam Melaka memang siap kena sita ini,” katanya.

Malah, beliau memaklumkan terdapat banyak lagi pendedahan akan dibuat pihaknya.

“Selagi mana ia adalah hak rakyat, selagi itu kita akan pertahankan dan lawan,” katanya. — Xklusif

Artikel Berkaitan

Back to top button