Pemulihan Sungai Siput, Peluang Pekerjaan Antara Agenda BN
SUNGAI SIPUT Nov 8 – – Walaupun kerusi Parlimen Sungai Siput terlepas daripada MIC selama tiga penggal, namun rata-rata penduduk merindui sentuhan MIC di situ dan mereka menerima khabar gembira apabila Presiden MIC, Tan Sri SA Vigneswaran bertanding di Parlimen itu.
Malah, Vigneswaran sudah pun memulakan gerak kerja dengan bertemu pengundi Sungai Siput sejak lebih dua tahun lalu dan pengundi dikatakan menerima baik kehadiran beliau menerusi bantuan dan sumbangan yang berterusan kepada penduduk.
Dalam tempoh itu, MIC sudah membuat pelbagai pembangunan di Sungai Siput termasuk pusat dialisis percuma serta pembinaan pusat penjagaan warga emas.
Selain itu, khabar baik buat penduduk di Sungai Siput apabila banyak peluang pekerjaan baru bakal ditawarkan kepada penduduk tempatan khususnya anak muda apabila projek pembangunan kilang paip gas akan dibangunkan di parlimen itu.
“Peluang pekerjaan baru untuk anak muda tempatan adalah antara usaha MIC agar mereka tidak perlu merantau mencari pekerjaan di luar kawasan hingga menyukarkan penjagaan ibu bapa masing-masing,” katanya kepada xklusif.my.
Atas inisiatif MIC juga, perkhidmatan van untuk membawa warga emas ke hospital untuk temujanji kesihatan telah diwujudkan hampir tiga tahun lepas dan usaha ini telah mendapat pujian masyarakat yang menerima manfaat.
Menurut Vigneswaran, usaha berkenaan adalah sebagai membalas jasa penduduk Sungai Siput yang telah menyokong MIC dan dua Presidennya selama lebih 40 tahun.
“Tema utama kami adalah untuk ‘Restore’ atau Pemulihan Sungai Siput. Selepas kekalahan Barisan Nasional (BN) pada 2008, Sungai Siput menjadi ‘statik’ dan alasan parti yang menang di parlimen ini adalah mereka tidak dapat tubuhkan kerajaan persekutuan.
“Namun, ketika pembangkang membentuk kerajaan negeri Perak dan menjadi kerajaan 22 bulan, tiada pemulihan yang dilakukan di Sungai Siput, tak banyak yang mereka mampu lakukan kerana pemikiran datang daripada pemimpin yang sama,” katanya.
Dalam pada itu Vigneswaran mengakui BN telah diberi pengajaran yang amat besar pada 2018 apabila hilang kuasa namun, hikmah daripada perkara itu adalah tiada lagi kesombongan dan keangkuhan agar keyakinan rakyat terhadap BN dapat dikembalikan pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Parlimen Sungai Siput secara tradisinya ditanding Presiden MIC sejak zaman mendiang Tun VT Sambanthan lagi dan legasi ini diteruskan oleh mendiang Tun S Samy Vellu yang menang selama lapan penggal di Parlimen itu sebelum kalah pada PRU12 kepada M Jeyakumar daripada PSM.
Selepas itu, dua percubaan MIC untuk merampas Parlimen itu pada PRU13 dan PRU14 menerusi Timbalan Presiden ketika itu, Datuk Seri SK Devamany, gagal.
Sekiranya Vigneswaran memenangi PRU15 kali ini, Sungai Siput mencipta sejarah tersendiri sebagai Parlimen yang menempatkan tiga Presiden MIC sejak 1959.