“Penampilan saya bukan comeback, tetapi welcome back…” – Shahrizat

KUALA LUMPUR Feb 21 – “Penampilan saya bukan comeback, tetapi welcome back,”.
Ketika orang lain melihat Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil seperti kembali ke dunia politik, mantan Ketua Wanita UMNO itu pula beranggap sebaliknya.
Shahrizat yang pernah mengetuai Pergerakan Wanita UMNO selama 10 tahun bermula tahun 2008 bakal memberi cabaran kepada penyandang jawatan berkenaan, Datuk Noraini Ahmad.
Menurutnya, sejak beliau mengumumkan persaraannya daripada politik pada 2018, tidak putus wanita UMNO datang menziarahinya bagi meyakinkan beliau untuk kembali menerajui kepimpinan Wanita UMNO Malaysia.
“Bukan sekejap untuk saya buat pertimbangan untuk kembali menerajui Wanita UMNO, kerana sebelum ini saya nekad untuk memberi laluan kepada pelapis yang lebih dan mempunyai wawasan yang tidak kurang hebatnya.
“Namun, darah UMNO dalam diri ini masih pekat dan dimana jua kita berada, kita tidak boleh lupa perjuangan parti.
“Ramai juga Wanita UMNO yang datang dan berkongsi pendapat mereka mengenai situasi politik sekarang dan mahu saya kembali untuk menguatkan lagi sayap,” katanya kepada Xklusif.
Justeru katanya, beliau menyangkal dakwaan beberapa pihak yang melabel dirinya membuat come back namun hakikatnya beliau diminta oleh Wanita UMNO sendiri untuk kembali menerajui.
Perkara itu dikuatkan lagi dengan kenyataan Ketua Wanita UMNO Kota Melaka, Datuk Haryaty Hamdzah yang memaklumkan seramai 147 Ketua Wanita UMNO Bahagian yang memohon Shahrizat kembali ke arena politik.
Haryaty berkata, reputasi dan legasi Shahrizat semasa menjadi menteri pertama di Kementerian Wanita, Keluarga dan Masyarakat yang ditinggalkan sebelum ini amat berkesan dan banyak kejayaan yang dihasilkannya.
“Sebagai Ketua Wanita UMNO Bahagian, saya bersama 147 ketua wanita bahagian-bahagian seluruh negara telah berjumpa Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil secara bersemuka.
“Sebahagian besar kami telah membuat pertimbangan dan kewarasan untuk meminta Tan Sri Shahrizat kembali menerajui kepimpinan Wanita UMNO Malaysia.
“Secara peribadi, saya tidak pernah berada di bawah kepimpinan beliau semasa beliau memimpin wanita UMNO, namun reputasi dan legasi semasa menjadi Menteri pertama di Kementerian Wanita, Keluarga dan Masyarakat yang ditinggalkan sebelum ini amat berkesan dan banyak kejayaan yang dihasilkan.
“Beliau sentiasa menjadi idola kebanyakan wanita di luar sana,” katanya.
Haryaty menegaskan, penolakan perwakilan-perwakilan Wanita ketika Perhimpuna Agung UMNO 2022 baru-baru ini terhadap usul agar jawatan tertinggi Wanita UMNO Malaysia dan bahagian-bahagian tidak dipertandingkan membuktikan akar umbi sayap parti itu mahukan kepimpinan baharu.
“Beliau seperti mutiara yang telah lama tersimpan dan akan kembali menyinar bagi membawa kegemilangan wanita semula,” katanya lagi.
Pemilihan kepimpinan UMNO cawangan-cawangan bermula pada 1 hingga 26 Februari. Manakala, peringkat bahagian dan pusat pada 11 Mac 2023 untuk wanita dan sayap-sayap, sementara UMNO Bahagian pada 18 Mac 2023.
Penyandang jawatan tersebut yang juga Ahli Parlimen Parit Sulong, Datuk Seri Noraini Ahmad telah memaklumkan akan mempertahankan jawatannya.
Selain Noraini, Naib Ketua Wanita UMNO, Datuk Norliza Abdul Rahim juga dikhabarkan akan memberi saingan pada pemilihan Wanita UMNO nanti.
Xklusif semalam melaporkan tiga perubahan yang ingin dibawa Shahrizat sekiranya dipilih sekali lagi sebagai Ketua Wanita UMNO iaitu transformasi landskap politik, memenuhi tuntutan rakyat dan menaiktaraf sayap parti itu.