Berita

Pencen tiada, naikkan lah gaji…

Pelaksanaan kadar gaji minimum yang lebih baik perlu segera diperkenalkan bagi memastikan penjawat awam mampu terus berdaya tahan walaupun skim saraan dimansuhkan

KUALA NERUS 28 Jan – Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) yang terkejut dengan pemansuhan skim pencen menggesa kerajaan agar menyegerakan pelaksanaan Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA).

Presidennya, Datuk Dr. Adnan Mat berkata, pelaksanaan kadar gaji minimum yang lebih baik perlu segera diperkenalkan bagi memastikan penjawat awam mampu terus berdaya tahan walaupun skim saraan dimansuhkan.

Jelas beliau, Cuepacs sebenarnya terbuka dengan cadangan kerajaan memansuhkan skim pencen tersebut sekiranya penjawat awam menikmati kadar upah yang lebih baik berbanding pada waktu ini.

“Isu sekarang kenapa mansuh (skim pencen) sewaktu kadar gaji penjawat awam masih rendah sehingga kami tidak mampu senangkan keluarga sebelum bersara, kami mohon kerajaan mempercepatkan kenaikan gaji tanpa menunggu pembentangan kajian SSPA pada Bajet 2025,” katanya.

Adnan berkata, kadar gaji kakitangan awam terutama berjawatan rendah pada masa ini agak kecil sehingga menyukarkan mereka menanggung kos perumahan, kesihatan, pendidikan, pengangkutan dan belanja harian keluarga.

Tegas beliau, tidak adil kakitangan awam dianggap beban kepada negara sedangkan rata-rata mereka hidup ala kadar dan kian tersepit dengan kos sara hidup yang terus meningkat.

“Hanya dengan kenaikan gaji, penjawat awam boleh memiliki simpanan untuk hari tua sekiranya pemansuhan skim saraan dilaksanakan kelak,” katanya. – Xklusif

Artikel Berkaitan

Back to top button