Pendaki Malaysia meninggal dunia ketika mendaki Mera Peak di Nepal
Malawakil mendapat panggilan berkaitan perkara itu pada jam 11 pagi (waktu Nepal) hari ini
PUTRAJAYA 5 Okt – Kakitangan Petronas Chemicals, Hazlami Ahmad Nizam, 33, meninggal dunia ketika mendaki Mera Peak, Nepal hari ini.
Pejabat Perwakilan Diplomatik Malaysia (Malawakil) di Nepal ketika dihubungi berkata, pihaknya ada menerima berita kematian rakyat Malaysia ketika mendaki puncak pada ketinggian 6,476 meter dari aras laut itu namun belum mendapat laporan penuh.
Menurutnya, Malawakil mendapat panggilan berkaitan perkara itu pada jam 11 pagi (waktu Nepal) hari ini.
Katanya, pihaknya akan berkongsi maklumat kejadian sekiranya sudah mendapat laporan penuh.
Seorang rakan arwah yang enggan dikenali berkata, proses mendapatkan bantuan helikopter sedang diuruskan bagi membawa turun jenazah yang dijangka dilakukan esok.
Menurutnya, dia mendapat berita itu dari ahli keluarga arwah selepas dihubungi pihak yang menguruskan pendakian arwah di Nepal.
Katanya, dia mengenali arwah yang bertugas di Gambang, Kuantan ketika terbabit dalam aktiviti pendakian dan ahli keluarga meminta bantuannya bagi proses membawa turun dan membawa pulang jenazah ke tanah air.
“Saya juga sudah berhubung dengan Malawakil di Nepal dan beberapa ahli keluarga arwah akan berangkat ke Nepal esok bagi menguruskan proses membawa pulang jenazah,” katanya ketika dihubungi sebentar tadi.
Mera Peak adalah satu daripada 18 puncak gunung yang popular di banjaran Gunung Himalaya, Nepal. – Xklusif