Ekonomi

Pendapatan Felda meningkat tiga peratus kepada RM186 juta pada suku pertama 2024

FELDA merekodkan jumlah pendapatan sebanyak RM186 juta pada suku pertama 2024, meningkat tiga peratus berbanding suku pertama 2023.

Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, pendapatan itu merangkumi pendapatan hasil sawit lot Felda, dividen, yuran pengurusan dan lain-lain pendapatan.

Bagaimanapun, perbelanjaan keseluruhan Felda merekodkan sebanyak RM278 juta atau menurun sebanyak 39 peratus pada berbanding suku pertama 2023.

“Jumlah perbelanjaan ini merangkumi perbelanjaan kos operasi ladang, kos pentadbiran, perbelanjaan peneroka, kos kewangan dan juga penjejasan,” katanya dalam jawapan bertulis disiarkan menerusi laman sesawang Parlimen, hari ini.

Beliau menjawab soalan Salamiah Mohd Nor (PN-Temerloh) yang mahu mengetahui mengenai prestasi kewangan Felda sehingga suku tahun pertama 2024.

Ahmad Zahid berkata secara keseluruhannya, prestasi kewangan Felda menunjukkan kenaikan memberangsangkan dalam pengurusan kewangan dan operasi organisasi serta pelaksanan strategi yang lebih berkesan dalam mengawal kos dan meningkatkan kecekapan berbanding suku sama tahun lepas. – BERNAMA

Ikuti Xklusif di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!

Artikel Berkaitan

Back to top button