Berita

Peneroka rugi jika harga gula kekal rendah

Perkara itu didedahkan Pengerus Felda, Ahmad Shabery Cheek.

KUALA LUMPUR 10 Nov. – Kenaikan harga gula mentah berkali ganda sejak 2020 menyebabkan harga gula sebenar jauh melangkaui harga siling ditetapkan kerajaan pada RM2.85 sekilogram.

Pengerusi Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda), Ahmad Shabery Cheek berkata, jika keadaan itu berterusan dan harga gula kekal rendah, ia akan menyebabkan peneroka terpaksa menanggung kerugian berterusan.

Katanya, ini kerana mereka merupakan pemegang saham FGV Holdings Berhad (FGV) dan Koperasi Permodalan Felda Bhd (KPF), yang memegang saham utama syarikat pengeluar gula utama negara, MSM Malaysia Holdings Bhd (MSM).

“FGV serta KPF masing-masing pemegang saham sebanyak 51% dan 15.27% syarikat MSM dan dalam masa sama, warga Felda merupakan pemegang saham dua syarikat itu.

“Isu besar (sekarang) adalah harga gula mentah melambung tinggi, pada 2020 harga gula mentah kos RM200 per tan, sekarang dah meningkat berkali ganda kepada RM600 per tan.

“Mahal macam mana pun, kos harga siling gula yang dijual kepada orang ramai adalah RM2.85 (sekilogram),” katanya kepada Bernama baru-baru ini.

Beliau berkata, ia menyebabkan MSM mengalami kerugian besar dan tidak dapat memberi pulangan sepatutnya kepada FGV dan KPF, contohnya pada 2022, apabila kerugian mencecah RM178 juta yang memberi impak besar kepada warga Felda.

Selain itu, katanya, harga gula standard di negara ini jauh lebih rendah berbanding negara lain di rantau Asia seperti Thailand yang menjual gula pada RM3.90 hingga RM4 sekilogram.

“Sebenarnya, harga gula kini disubsidi peneroka kerana mereka pemegang saham MSM, bukannya kerajaan. Bayangkan subsidi RM1 sekilogram, itu (jumlah) besar. Tidak adil sekiranya mereka terus menanggung subsidi itu.”

Justeru, beliau berharap kerajaan mengambil tindakan sewajarnya supaya peneroka tidak terus menanggung subsidi gula dan Felda akan berunding dengan kerajaan untuk mencari mekanisme terbaik dalam menyelesaikan isu itu. — Xklusif

Artikel Berkaitan

Back to top button