Penganggur didakwa paksa anak jiran bawah umur liwat dirinya
Tertuduh didakwa melakukan amang seksual fizikal terhadap seorang remaja lelaki berusia 15 tahun dua bulan
KOTA BHARU 21 Dis – Seorang bekas pekerja membuat produk batik mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, atas tiga pertuduhan melakukan amang seksual termasuk memaksa anak jiran meliwat dirinya, dua minggu lalu.
Tertuduh berusia 56 tahun yang kini menganggur didakwa di hadapan Hakim Mohd Zul Zakiqudin Zulkifli.
Mengikut dua pertuduhan, tertuduh didakwa melakukan amang seksual fizikal terhadap seorang remaja lelaki berusia 15 tahun dua bulan.
Tertuduh yang tidak berkahwin juga didakwa melakukan amang seksual dengan memaksa mangsa untuk meliwatnya.
Ketiga-tiga kesalahan didakwa dilakukan di dalam bilik di sebuah rumah di Kampung Pintu Geng, di sini pada jam 8 pagi, 6 Disember lalu.
Pendakwaan mengikut Seksyen 14 (a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 (Akta 792) dan Seksyen 14 (d) akta sama yang boleh dihukum mengikut Seksyen 14 akta sama.
Kedua-dua seksyen itu memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan boleh dihukum sebat jika disabitkan kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Nur Akmal Mohd Bakri.
Tertuduh tidak diwakili peguam. – Kosmo