Pengarah Cesmed UKM meninggal dunia akibat serangan jantung
Allahyarham meninggal dunia kira-kira pukul 11.57 malam akibat serangan jantung.

KUALA LUMPUR 3 Ogos – Pengarah Pusat Keusahawanan dan EKS (CESMED) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof. Madya Dr. Noor Azuddin Bin Yakob meninggal dunia malam tadi.
Timbalan Pengarah CESMED UKM, Prof. Madya Dr. Muhamad Azry Khoiry berkata, Allahyarham meninggal dunia kira-kira pukul 11.57 malam akibat serangan jantung.
“Allahyarham berada di Universiti Malaysia Sabah (UMS) untuk program melibatkan bersama Pengarah Usahawan di beberapa buah universiti yang lain.
“Buat masa ini saya dimaklumkan yang solat jenazah Allahyarham akan dibuat di masjid negeri sebelum urusan membawa pulang jenazah ke Bangi, Selangor dibuat,” katanya.
Bercerita mengenai keperibadian Allahyarham, Muhamad Azry menyifatkan bahawa Noor Azuddin sebagai seorang yang sangat tegas terutamanya ketika bekerja.
“Tetapi, Allahyarham juga sangat penyayang dan kalau kita bekerja dengannya, dia akan pastikan kerja kita diselesaikan dengan baik.
“Dia juga sentiasa melayani semua yang bekerja dengannya ibarat kawan-kawan dan perkara itu membuatkan ramai senang berurusan dengannya,” katanya.
Untuk rekod, Allahyarham sebelum ini mempunyai kepakaran dalam bidang pengurusan kewangan, pengurusan korporat dan analisis pasaran kewangan.
Selain bersama UKM, Allahyarham juga bekerjasama dengan syarikat penyedia latihan, Meeka Intl Sdn Bhd dalam menilai kursus latihan berkaitan dengan keusahawanan. — Xklusif