Berita

Pengasuh mengaku salah tampar, ketuk kepala bayi didenda RM10,000

Ibu kepada dua anak itu turut diperintah melakukan khidmat masyarakat selama 120 jam yang perlu disempurnakan dalam tempoh enam bulan bermula hari ini

KUALA LUMPUR 24 Jan – Pengasuh didenda RM10,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas tuduhan menampar dan mengetuk dahi bayi lelaki berusia 11 bulan hingga menyebabkan kecederaan di sebuah kediaman di Putrajaya, awal bulan ini.

Tertuduh, Norliza Osman, 42, mengaku bersalah sebaik pertuduhan dibacakan jurubahasa di hadapan Hakim Siti Aminah Ghazali.

“Saya mengaku (bersalah),” katanya ringkas.

Dengan pengakuan bersalah itu, Siti Aminah juga mengarahkan wanita itu berkelakuan baik dengan bon jaminan berjumlah RM3,000 selama tiga tahun.

Ibu kepada dua anak itu turut diperintah melakukan khidmat masyarakat selama 120 jam yang perlu disempurnakan dalam tempoh enam bulan bermula hari ini.

Mengikut pertuduhan, Norliza sebagai orang yang dipertanggungjawabkan menjaga seorang bayi lelaki didapati menganiaya sehingga menyebabkan kecederaan di sebuah kediaman di Presint 9, Putrajaya antara 10 pagi hingga 12 tengah hari, 2 Januari lalu.

Wanita itu didakwa mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang memperuntukkan hukuman denda sehingga RM50,000 atau penjara maksimum 20 tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Mengikut fakta kes, seorang pegawai perubatan Hospital Putrajaya menerima pesakit iaitu bayi berkenaan yang dibawa ibu bapanya untuk rawatan.

Doktor mendapati bayi berkenaan mempunyai kecederaan lebam dan calar di dahi, pipi dan telinga kanan akibat didera.

Tertuduh kemudian mengaku menampar dan mengetuk dahi dan pipi sekuatnya di hadapan ibu bapa bayi berkenaan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Nidzuwan Abd Latif memohon hukuman setimpal terhadap tertuduh sebagai pengajaran.

Norliza yang tidak diwakili peguam merayu supaya tidak dihukum penjara kerana mempunyai anak masih bersekolah dan kurang upaya serta perlu menguruskan kehidupan seharian mereka. – Harian Metro

Ikuti Xklusif di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!

Artikel Berkaitan

Back to top button