Pengawal keselamatan bikin kecoh, tertembak lantai secara tak sengaja
Kejadian berlaku di sebuah institusi kewangan di Kota Damansara.

KUALA LUMPUR 27 Dis. – Seorang pengawal keselamatan secara tidak sengaja menimbulkan kekecohan apabila melepaskan satu das tembakan ke arah lantai di sebuah institusi kewangan di Jalan PJU 5/14, Kota Damansara, Petaling Jaya, Selangor pada semalam.
Timbalan Ketua Polis Petaling Jaya, M Hussin Sollehuddin Zolkifly berkata, kejadian itu mengakibatkan cermin di bahagian pintu masuk pecah dan tidak melibatkan sebarang kemalangan jiwa.
Beliau berkata polis menerima pemakluman kes itu pada 10.13 pagi tadi daripada orang awam yang mendengar bunyi tembakan di institusi kewangan itu sebelum sepasukan polis dari IPD Petaling Jaya ditugaskan ke lokasi.
“Hasil siasatan mendapati pengawal keselamatan berumur 50-an itu menggunakan senjata jenis pump gun telah melepaskan satu das tembakan ke arah lantai sehingga menyebabkan cermin di bahagian pintu masuk telah pecah.
“Tiada sebarang cubaan samun dan pengawal keselamatan itu juga negatif dadah. Kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 39 Akta Senjata 1960,” katanya dalam kenyataan malam tadi.
M Hussin Sollehuddin meminta orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkenaan kes itu menghubungi bilik gerakan IPD Petaling Jaya melalui talian 03-79662222. — Xklusif