
KUALA LUMPUR: Seorang penghantar makanan yang didakwa melanggar seorang anggota polis dengan kereta minggu lalu, mengaku tidak bersalah atas pertuduhan cubaan membunuh di Mahkamah Sesyen di sini.
Shamil Isa, 27, didakwa melanggar sebuah motosikal yang ditunggang oleh koperal A Rajaratnam, 48, dengan mengetahui bahawa perbuatan itu boleh mengakibatkan kematian, di lampu isyarat di Jalan Segambut, Sentul, di sini, pada jam 11.45 malam, 21 Okt.
Pertuduhan di bawah Seksyen 307 Kanun Keseksaan memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan denda jika sabit kesalahan.
Timbalan pendakwa raya Vivien Yeap tidak menawarkan jaminan untuk tertuduh. Namun, peguam tertuduh, Nurul Atikah Rusli, memohon jaminan atas alasan bahawa anak guamnya perlu menjaga ibunya.
Yeap berkata tertuduh dan teman wanitanya yang berada dalam sebuah kereta telah ditahan oleh anggota polis untuk pemeriksaan. Namun, tertuduh memecut dan melanggar motosikal mangsa.
“Mangsa tidak mengalami sebarang kecederaan. Namun, motosikalnya diseret oleh kereta tertuduh sejauh kira-kira 300 meter,” kata Yeap.
Mahkamah tidak membenarkan jaminan dan menetapkan 2 Dis untuk sebutan semula kes.