Penghibur veteran tanah air, Jay Jay meninggal dunia
Penghibur veteran tanah air, Mohd Fauzi Darus, yang lebih dikenali sebagai Jay Jay, telah meninggal dunia di sebuah hospital di Damansara, pada Ahad.
Pemergian Jay Jay, 67, dikongsi oleh rakan artis, Datuk Hattan dan Datuk Fauziah Ahmad Daud di laman media sosial mereka.
Memetik laporan media, penghibur yang popular dengan lagu Rindu Bayangan itu mengalami lumpuh selepas menjalani pembedahan pintasan jantung di Institut Jantung Negara (IJN) pada 23 Mei lalu.
Selepas menjalani pembedahan, penyanyi berkenaan diserang angin ahmar dan meneruskan rawatan fisioterapi di sebuah pusat perubatan di Petaling Jaya, Selangor.
Untuk info, Jay Jay melibatkan diri dalam dunia seni dengan menjadi vokalis dan pemain bass untuk kumpulan Carefree.
Lagu Rindu Bayangan antara karya yang cukup meninggalkan kesan di hati pendengar dan membuatkan Jay Jay terus mendapat tempat di hati peminat.
Malah selepas meninggalkan kumpulan Carefree, kariernya terus gemilang dengan kelahiran tujuh buah album solo.
Jay Jay juga pernah memenangi anugerah Penyanyi Lelaki Popular pada Anugerah Bintang Popular Berita Harian 1988 dan Vokal Terbaik Lelaki pada Anugerah Industri Muzik 1998.
Tidak hanya itu, penyanyi berkenaan pernah memenangi kategori Pop Rock pada Anugerah Juara Lagu pada 1998 menerusi lagu Joget Angan Tak Sudah.
Salam takziah untuk keluarga dan sahabat handai Allahyarham.