
Seorang peniaga makanan sejuk beku kerugian lebih RM600,000 selepas menjadi mangsa skim pelaburan perniagaan dalam talian bulan lalu.
Ketua Polis Daerah Nilai, Abdul Malik Hasim berkata mereka menerima laporan daripada mangsa, seorang lelaki awal 50-an, pada jam 1.17 tengah hari tadi.
“Lelaki itu memberitahu bahawa dia berurusan dengan seorang individu yang menawarkan peluang pelaburan kepadanya pada 21 April. Dia diarahkan untuk mendaftar akaun eBay bagi memulakan pelaburan dalam perniagaan dan menjual barangan melalui kedai dalam talian miliknya.”
“Mangsa kemudian telah memindahkan wang ke dalam 19 akaun bank berbeza, dengan jumlah keseluruhan 43 transaksi bernilai RM677,890,” kata Malik dalam satu kenyataan malam ini.
Malik berkata, mangsa hanya menyedari dirinya ditipu selepas gagal mengeluarkan kedua-dua keuntungan dan modal permulaan.








