Berita

Peningkatan jumlah bayaran STR diharap dapat ringankan beban rakyat

Bayaran maksimum bagi isi rumah pada tahun ini ditingkatkan lebih daripada 66 peratus berbanding RM300 tahun lalu.

KUALA LUMPUR 29 Jan. – Jumlah bayaran bantuan Sumbangan Tunai Rahmah (STR) Fasa 1 yang meningkat kepada RM500 diharap dapat meringankan bebanan dihadapi rakyat.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, bayaran maksimum bagi isi rumah pada tahun ini ditingkatkan lebih daripada 66 peratus berbanding RM300 tahun lalu.

Beliau mengakui kesulitan kenaikan harga barang merupakan masalah utama yang membelenggu sebilangan besar rakyat.

Namun begitu, Perdana Menteri menegaskan Kerajaan MADANI pimpinannya beriltizam memberi rakyat sejagat kehidupan yang lebih bermaruah.

“Alhamdulillah, bayaran bagi Fasa 1 STR 2024 akan disalurkan bermula hari ini.

“Saya akur bahawa kesulitan kenaikan harga barang merupakan masalah utama yang membelenggu sebilangan besar rakyat.

“Hatta, saya berharap peningkatan bayaran yang ketara ini dapat meringankan beban kalian.

“Kunci kestabilan negara terletak kepada kesaksamaan dan keadilan sosial seperti yang didamba dalam kerangka Ekonomi MADANI.

“Saya berharap penerima-penerima STR Fasa 1 ini dapat memanfaatkan sebaiknya bantuan ini,” katanya dalam hantaran di Facebook.

Pembayaran STR Fasa 1 kepada 8.2 juta penerima akan bermula hari ini.

Pembayaran itu akan dibuat kepada penerima yang berdaftar dalam pangkalan data STR melalui pengkreditan ke dalam akaun bank atau disalurkan secara tunai melalui Bank Simpanan Nasional (BSN) secara berperingkat, mengikut kategori kelayakan STR masing-masing.

Kerajaan telah menaikan bayaran STR Fasa 1 kepada RM500 bagi penerima kategori isi rumah berpendapatan RM2,500 dan ke bawah, berbanding bayaran maksimum RM300 tahun lepas.

Bagi isi rumah berpendapatan RM2,501 hingga RM5,000 pula, penerima layak menerima RM100 hingga RM300.

Dalam pada itu, penerima bagi kategori warga emas tiada pasangan dan golongan bujang masing-masing akan menerima RM150 dan RM100. — Xklusif

Ikuti Xklusif di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!

Artikel Berkaitan

Back to top button