Penjawat awam akan berkurang dalam tempoh 10 tahun
Perkara itu susulan keputusan penarikan pencen bagi penjawat awam baharu.

KUALA LUMPUR 25 Jan. – Penjawat awam dijangka akan semakin berkurangan dalam tempoh 10 tahun akan datang disebabkan keputusan pelaksanaan penjawat awam baharu berstatus tetap tidak berpencen.
Ketua Penerangan BERSATU, Datuk Razali Idris berkata, negara sebenarnya terhutang budi dengan pengorbanan penjawat awam.
“Kementerian Kesihatan mempunyai kira-kira 250,000 kakitangan awamnya.
“Bilangan itu pasti akan menyusut kerana bakal pembantu perubatan, bakal jururawat, bakal ahli farmasi dan x-ray serta bakal doktor lebih bersedia berkhidmat di klinik dan hospital swasta serta di luar negara.
“Kementerian Pendidikan mempunyai kira-kira 503,000 kakitangan terutama guru yang sentiasa berkorban demi anak bangsa tetapi bayangkan akan berlaku kekurangan bagi tempoh 10 tahun mendatang kerana tawaran kontrak dan tidak berpencen,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Razali berkata, mengambil tanggungjawab yang semakin mencengkam ini, Perikatan Nasional (PN) bersedia dan bersama kira-kira 2.3 juta penjawat awam termasuk anggota pegawai tadbir dan diplomatik (PTD), tentera dan polis menjadikan isu itu sebagai agenda nasional yang perlu dipertahankan secara bersama.
Terdahulu, Kabinet pada semalam bersetuju menetapkan syarat bahawa penjawat awam baharu berstatus tetap selepas ini tidak berpencen.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, status pencen penjawat awam sedia ada tidak akan terjejas, namun golongan yang baharu dilantik kelak perlu membuat caruman menerusi Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).
Sebelum ini, perkara tersebut dimaklumkan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Datuk Seri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz menerusi satu pekeliling yang dikatakan, bakal mengukuhkan sistem saraan perkhidmatan awam di negara ini. — Xklusif