Berita

Penjawat awam Pahang terima bonus sebulan setengah

Pemberian itu diberikan sebagai penghargaan kerajaan negeri kepada seluruh penjawat awam Pahang.

KUALA LUMPUR 4 Dis. – Kerajaan Pahang mengumumkan bantuan khas kewangan (BKK) sebulan setengah dengan minima RM2,000 kepada semua penjawat awam di bawah pentadbiran kerajaan negeri menerusi Belanjawan Pahang 2024.

Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, BKK tersebut sebagai penghargaan kerajaan negeri kepada seluruh penjawat awam negeri ini.

“Saya ingin merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada seluruh penjawat awam yang terus menerus memberikan dokongan dan keyakinan dalam melaksanakan amanah ini.

“Sikap profesionalisme dan saling hormat-menghormati menjadi adunan penting dalam memastikan Negeri Pahang kekal maju dan makmur,” katanya.

Beliau berucap demikian ketika sesi pembentangan Belanjawan Pahang 2024 di Mesyuarat Kedua Penggal Ketiga Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang ke-15 di Wisma Sri Pahang,di sini pada Isnin.

Wan Rosdy memaklumkan bantuan terbang sebagai menghargai sumbangan dan motivasi kepada mereka untuk meneruskan kerja baik serta meningkatkan pencapaian di masa hadapan,

“Saya mengumumkan suatu bantuan khas kewangan kepada anggota perkhidmatan awam negeri ini,” katanya.

Beliau menambah, bayaran terbabit akan dikreditkan pada tahun hadapan melibatkan keseluruhan peruntukan sebanyak RM39.6 juta.

Dalam pada itu Wan Rosdy memberitahu, bagi tahun 2024, kerajaan negeri menyasarkan kutipan hasil mencecah RM1.137 bilion.

Jelasnya, unjuran hasil ini adalah yang paling tinggi dalam sejarah, dengan peningkatan sebanyak 5 peratus berbanding Belanjawan Tahun 2023.

“Daripada jumlah ini, RM1.125 bilion akan diperuntukkan bagi Perbelanjaan Mengurus, yang merangkumi perbelanjaan Emolumen, Perkhidmatan dan Bekalan, Pemberian dan Kenaan Bayaran Tetap serta Perbelanjaan Lain dan Aset, dengan peningkatan sebanyak RM54 juta atau 5.04 peratus berbanding tahun 2023,”jelasnya.

Bagi Perbelanjaan Pembangunan, Wan Rosdy berkata, sejumlah RM301.29 juta peruntukan dan jumlah ini

merangkumi projek infrastruktur sebanyak RM171.98 juta ringgit, dengan pembiayaan secara langsung.

“Sebanyak RM129.30 juta atau bersamaan 42.92 peratus adalah daripada pinjaman Kerajaan Persekutuan bagi membiayai Projek Bekalan Air,” katanya. — Sinar Harian

Ikuti Xklusif di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!

Artikel Berkaitan

Back to top button