Jenayah

Penjual buah maut ditikam depan rumah di Taman OUG

Penjual buah itu ditemui mati dengan kesan kecederaan di muka dan badan akibat tikaman

KUALA LUMPUR 27 Sept – Seorang lelaki warga emas yang juga penjual buah maut selepas ditikam di hadapan sebuah rumah teres di Taman OUG, di sini, malam semalam.

Dalam kejadian jam 7.40 malam itu, mangsa dikenali sebagai Ah Kau, 80, ditemui mati dengan kesan kecederaan di muka dan badan akibat tikaman.

Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Amihizam Abdul Shukor, berkata bertindak atas maklumat awam, pihak polis pergi ke lokasi kejadian di Jalan Hujan Emas 5, Taman OUG.

“Hasil pemeriksaan mendapati mangsa telah terbaring di hadapan sebuah rumah teres dua tingkat dalam keadaan berdarah dan lengkap berpakaian.

“Saksi yang juga penyewa rumah berkenaan memaklumkan bahawa si mati menjadikan kawasan rumah berkenaan sebagai tempat menyimpan buah-buahan untuk dijual di pasar pagi,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Amihizam berkata, hasil siasatan susulan, pihaknya menahan empat lelaki warga asing berusia antara 29 hingga 53 tahun untuk membantu siasatan.

“Pada masa ini pihak polis masih memburu beberapa lagi suspek lain untuk siasatan lanjut.

“Bagaimanapun pada masa ini kita masih menyiasat motif sebenar kejadian bunuh ini dan menjalankan siasatan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan,” katanya.

Beliau berkata, orang awam dinasihatkan untuk tidak membuat sebarang spekulasi berhubung kes ini.

Orang ramai yang mempunyai maklumat diminta menghubungi Hotline Polis Daerah Brickfields di talian 03-22979222 atau Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-21159999 atau tampil di mana-mana Balai Polis berdekatan. – Xklusif

Ikuti Xklusif di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!

Artikel Berkaitan

Back to top button