Penonton final Piala FA dakwa patah hidung, pendarahan kepala dipukul JMF
Lelaki yang berusia 30 tahun itu turut mendakwa dirinya mengalami kecederaan dan membuat laporan di Balai Polis Sungai Besi, Kuala Lumpur,

KUALA LUMPUR 24 Julai – Seorang penonton perlawanan akhir bola sepak Piala FA 2023 antara Johor Darul Takzim (JDT) dan Kuala Lumpur (KL) City FC, mendakwa dirinya dipukul oleh anggota Johor Military Force (JMF) di Stadium Sultan Ibrahim (SSI), Johor pada Sabtu.
Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner Rahmat Ariffin berkata, lelaki yang berusia 30 tahun itu turut mendakwa dirinya mengalami kecederaan dan membuat laporan di Balai Polis Sungai Besi, Kuala Lumpur, pada 11.50 pagi Ahad.
Katanya, mangsa yang pulang ke Kuala Lumpur mendapatkan rawatan, ditahan di wad Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).
“Doktor mengesahkan mangsa mengalami kecederaan patah hidung, pendarahan di kepala dan mata kanan serta lebam seluruh badan.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 326 Kanun Keseksaan (mendatangkan cedera parah dengan menggunakan senjata atau benda lain yang berbahaya),” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.
Tambahnya, kes berkenaan masih dalam siasatan, orang ramai yang melihat kejadian itu dikehendaki tampil ke Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Iskandar Puteri untuk membantu siasatan. — Xklusif