Berita

Penternak mahu kerajaan pertimbang naik harga ayam

Perkara itu ekoran kenaikan tarif air yang menyebabkan kenaikan kos pengeluaran sumber makanan tersebut.

KUALA LUMPUR 25 Jan. – Pertubuhan Penternak Ayam Kebangsaan berharap harga ayam di pasaran dapat dinaikkan berikutan peningkatan tarif air di seluruh negara bermula 1 Februari ini.

Kenaikan harga ayam wajar dipertimbangkan pihak kerajaan kerana kenaikan kos utiliti itu akan menyebabkan kenaikan kos pengeluaran sumber makanan tersebut daripada 40 sen kepada 48 sen seekor.

Pengerusinya, Dr Nasiman Sapar turut berkata, ketika ini kos utiliti adalah sebanyak 7.2 peratus berbanding pengeluaran ayam RM6.53 sekilogram seperti dilaporkan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) bakal meningkat antara 11 hingga 20 peratus.

“Jika tiada kenaikan harga ayam, penternak akan berterusan berdepan tekanan yang ketika ini pun menghadapi penetapan harga daripada pembekal sekitar RM5.80 hingga RM5.90 sekilogram.

“Jadi, kami berharap harga ayam di pasaran boleh ditingkatkan kepada RM10 sekilogram supaya penternak boleh menarik nafas bagi menghadapi peningkatan kos dengan memperoleh pendapatan tambahan sekitar RM1 hingga RM2 sekilogram,” katanya.

Beliau ditemui pemberita selepas mengadakan pertemuan dengan persatuan penternak termasuk Persatuan Penternak Ayam Negeri Selangor (PPANS) di sebuah hotel di Seksyen 14, di sini pada Khamis.

Beliau menambah, ketika ini penternak perlu menanggung kos utiliti termasuk bil air dan elektrik sekitar RM9,000 hingga RM10,000 bergantung kepada saiz reban.

Media sebelum ini melaporkan kerajaan melalui Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) meluluskan kenaikan tarif air sehingga 22 sen bagi setiap meter padu bermula 1 Februari ini.

Dalam pada itu, Nasiman mendedahkan sasaran pengeluaran ayam sehingga 140 peratus seperti ditetapkan dalam Dasar Agromakanan Negara (DAN) 2030 juga sukar dicapai dan membebankan golongan penternak berdasarkan situasi pengurusan dan kerenah birokrasi semasa.

Ujarnya, pengeluaran ayam negara kini berdepan penurunan sehingga 39 peratus dalam tempoh 10 tahun dan tidak menunjukkan sebarang peningkatan apabila pengeluarannya berkurangan sekitar tiga juta ekor tahun lalu berbanding 2022.

Menurut Nasiman, pengeluaran ayam tempatan adalah sekitar 147 juta ekor setahun sementara sasaran untuk dicapai pada 2030 pula adalah 818 juta ekor setahun bagi memenuhi peningkatan keperluan penduduk di negara ini sekitar 36 juta orang.

“Ini bermakna setiap tahun penternak kena tambah pengeluaran 143 juta ekor bagi mencapai sasaran tersebut, sedangkan pelbagai masalah dihadapi penternak termasuk kerenah birokrasi kerajaan,” ujarnya.

Antara kerenah birokrasi dihadapi para penternak tempatan lebih 10 tahun terutama isu kelulusan Kebenaran Merancang (KM) daripada pihak berkuasa tempatan (PBT) di setiap negeri.

Menjelaskan perkara itu, PPANS mendedahkan ada penternak didenda RM20,000 yang dicaj setiap tahun sebagai kesalahan berulang kerana membina reban tanpa kelulusan KM.

Timbalan Pengerusi PPANS, Idrus Zainal Abidin berkata, adalah sukar bagi penternak untuk mendapatkan kelulusan KM sebab perlu persetujuan 14 jabatan dan agensi kerajaan manakala kos yang dikenakan pula sehingga mencecah RM60,000.

Jelasnya lagi, isu KM sudah berlarutan terlalu lama malah ada antara penternak yang terpaksa membina reban dengan menjual ayam terlebih dahulu untuk menampung kos KM.

“Oleh sebab itu juga sekitar 80 hingga 90 peratus daripada lebih 1,000 penternak dipercayai membina reban tanpa KM sebab berdepan kerenah birokrasi dan kos yang tinggi,” tambahnya. — Sinar Harian

Ikuti Xklusif di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!

Artikel Berkaitan

Back to top button