Berita

(VIDEO) Penunggang motosikal cedera jatuh jambatan setinggi 20 meter di Ukay Perdana

Kejadian berlaku ketika mangsa dalam perjalanan ke masjid.

KUALA LUMPUR 25 Sept. – Seorang lelaki cedera parah selepas motosikal yang ditunggangnya terlibat kemalangan sehingga mengakibatkannya terjatuh ke bawah jambatan setinggi 20 meter di Jalan Ukay Perdana, semalam.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohd Azam Ismail berkata, kejadian berlaku kira-kira pukul 6.30 petang ketika mangsa dalam perjalanan dari Taman Al-Ridhuan menuju ke Masjid Ukay Perdana.

“Semasa melalui selekoh pusingan-u jalan tersebut, mangsa tidak dapat mengawal kenderaan lalu terbabas ke kiri jalan dan melanggar tembok penghadang hingga menyebabkannya tercampak dan jatuh ke bawah jambatan berketinggian lebih kurang 20 meter.

“Mangsa yang berusia 21 tahun itu merupakan seorang pelajar kolej mengalami kecederaan patah tulang kaki kiri, rusuk kanan dan tulang belakang sedang menerima rawatan di Hospital Ampang,” katanya.

Menurut Mohd Azam, kes disiasat di bawah Kaedah 10 Kaedah-kaedah Lalu Lintas Jalan 1959 (LN 166/1959).

Tambahnya, saksi bebas yang menyaksikan kejadian tersebut diminta untuk tampil menyalurkan maklumat berkenaan kejadian dan boleh berhubung dengan Pegawai Penyiasat Trafik IPD Ampang Jaya Insp Nur Nadzirah Abdul Rahim di talian 012-4401093. — Xklusif

Artikel Berkaitan

Back to top button