Penyamun warga asing cemas beg ada pengenalan diri dirampas mangsa di Rembau
Penjenayah yang dipercayai warga asing itu menyamun sebuah rumah yang dihuni enam beranak kira-kira jam 3.30 pagi
REMBAU 29 Jan – Tindakan empat penjenayah menyamun dua rumah di Kampung Pilin di sini pada awal pagi Isnin, bagaikan ‘memakan diri’ selepas beg disyaki milik salah seorang daripadanya berjaya dirampas oleh seorang mangsa yang mengejarnya.
Mangsa, Mohd Akmal Isfak Ahmad, 27, berkata, dia sebelum itu dikejutkan dengan kehadiran empat lelaki yang menutupi muka masing-masing dengan baju sambil salah seorang mengacukan pisau ke arahnya dalam kejadian kira-kira jam 5.15 pagi.
“Mereka ugut akan bunuh ibu saya, jika saya buat bising, dan ketika itu ada lima orang dalam rumah termasuk anak buah lelaki saya berusia satu tahun. Semasa penjenayah itu membuka pintu bilik kakak, abang ipar saya terus menyerbunya sebelum mereka melarikan diri.
“Saya bertindak mengejar mereka disusuli abang ipar sebaik menyedari beg tangan milik ibu dilarikan lalu berlaku pergelutan dengan seorang daripadanya, manakala beg disyaki milik salah seorang suspek yang mengandungi pengenalan diri juga berjaya dirampas termasuk beg ibu,” katanya ketika ditemui pemberita pada Isnin.
Sementara itu, dalam kejadian terdahulu, penjenayah yang dipercayai warga asing itu menyamun sebuah rumah yang dihuni enam beranak kira-kira jam 3.30 pagi.
Malah mereka dikatakan sempat makan durian dan ikan masin mentah selepas selesai menyamun sementara menunggu kenderaan mereka sampai.
Menurut mangsa, Zakaria Mohamed Yunus, 40, penjenayah berkenaan dilihat bagaikan tidak berpuas hati kerana tidak mendapat apa yang diinginkan susulan diberitahu bahawa kediamannya merupakan ‘kediaman orang kaya’, bagaimanapun hampa susulan mangsa hanya mempunyai wang tunai RM100.
“Saya, isteri dan dua anak diikat manakala dua lagi anak saya tidak diikat kerana nyenyak tidur. Penjenayah itu pukul saya, manakala isteri disepak kerana kecewa tidak banyak barang berharga ditemui,” katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Rembau, Deputi Superintenden Hazri Mohamad ketika dihubungi mengesahkan kejadian dan siasatan lanjut sedang dilakukan.
Bapa saudara Zakaria menunjukkan lokasi suspek masuk.
“Kita masih memburu suspek dalam kejadian ini,” katanya. – Sinar Harian