Berita

Penyertaan Malaysia dalam Sidang Kemuncak perkukuh Kepusatan ASEAN – PM

PM akui penyertaan negara ini juga akan menggalakkan keterangkuman dan keterbukaan ASEAN dalam menjalankan hubungan dengan rakan-rakan luar.

KUALA LUMPUR 5 Sept. – Penyertaan Malaysia dalam Sidang Kemuncak ASEAN Ke-43 di Jakarta hingga 7 September ini bakal mengukuhkan lagi Kepusatan di rantau Indo-Pasifik.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, penyertaan negara ini juga akan menggalakkan keterangkuman dan keterbukaan dalam menjalankan hubungan dengan rakan-rakan luar.

Beliau berkata, platform Sidang Kemuncak ASEAN Ke-43 itu juga akan digunakan bagi menyatakan hala tuju kerajaan berkaitan isu glokal yang terkait, selain menyertai beberapa siri sidang kemuncak dalam mengukuhkan jaringan diplomatik yang sekian lama terjalin dengan rakan-rakan.

“Hatta platform ini dapat menggalakkan kebersamaan, keamanan dan kestabilan tatkala menopang tantangan serta kebhinekaan evolusi geopolitik serantau yang kian mencabar tika ini.

“Selain program kendatipun acara rasmi, saya juga akan bertemu sahabat-sahabat Indonesia dalam ‘Program Temu Anwar’, pertama kali diadakan di luar Malaysia seumpamanya.

“Moga semua yang dirancang dan diatur ini berjalan dengan lancar dan mendapat keredhaan-Nya, Insya-Allah,” katanya dalam ciapan di platform X, hari ini.

Terdahulu, Perdana Menteri selamat tiba di ibu kota Indonesia itu bagi menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN Ke-43 dan sidang-sidang kemuncak berkaitan bermula esok.

Pesawat khas yang membawa Anwar dan isterinya, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Soekarno Hatta di Tangerang, Banten pada 3.28 petang waktu tempatan (4.28 petang waktu Malaysia).

Ketibaan Perdana Menteri dan isteri disambut oleh Menteri Komunikasi dan Informasi Indonesia, Budi Arie Setiadi; Menteri Luar Malaysia Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir serta Duta Besar Malaysia ke Indonesia Datuk Syed Md Hasrin Tengku Hussin.

Anwar mengetuai delegasi Malaysia ke sidang kemuncak itu dari 5 hingga 7 Sept iaitu yang kedua dihadirinya selepas Sidang Kemuncak ASEAN Ke-42 di Labuan Bajo.

Ini adalah sidang kemuncak pertama beliau bersama tujuh Rakan Dialog ASEAN iaitu Australia, China, Jepun, India, Korea Selatan, Amerika Syarikat dan Kanada. — Xklusif

Ikuti Xklusif di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!

Artikel Berkaitan

Back to top button