Berita

Perak jual air terawat kepada Pulau Pinang

Perkara itu disahkan Menteri Besar Perak pada Sabtu.

KUALA LUMPUR 11 Nov. – Kerajaan Perak bersetuju menjual air terawat kepada Pulau Pinang selepas perbincangan antara kedua-dua Setiausaha Kerajaan Negeri berkenaan kelmarin, mencapai kata sepakat.

Mengesahkan perkara itu, Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad, berkata sebuah jawatankuasa bersama ditubuhkan kedua-dua kerajaan negeri untuk mengkaji segala kos sebelum proses memohon peruntukan daripada Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim bagi pembinaan loji rawatan air di daerah Kerian, utara Perak.

Beliau berkata, projek itu akan memanfaatkan rakyat Perak dengan membantu menyelesaikan isu pengairan sektor pertanian di Kerian dan persediaan pembinaan Taman Industri Teknologi Tinggi seluas 400 hektar di daerah sama seperti diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, dalam Belanjawan 2024.

“Kerajaan Perak dan Pulau Pinang mencapai persetujuan iaitu Perak akan membekalkan air terawat ke Pulau Pinang, bukan air mentah.

“Kerajaan negeri memang ingin memindahkan air ke utara Perak untuk membantu menyelesaikan masalah pengairan pertanian di kawasan itu.

“Kedua, apabila Perdana Menteri mengumumkan cadangan penubuhan Taman Industri Teknologi Tinggi di Kerian, ia bermakna kita perlu menyediakan bekalan air mencukupi untuk tujuan perindustrian,” katanya ketika sidang media selepas merasmikan Program One Stop Center Kesejahteraan Rakyat Negeri Perak di Dewan Merdeka, di sini, hari ini.

Saarani berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow, yang dilaporkan berkata, isu berkaitan bekalan air antara Pulau Pinang dan Perak menerusi Projek Skim Pemindahan Air dari Sungai Perak (SPRWTS) kini memasuki fasa perbincangan yang positif.

Mengulas Program One Stop Center Kesejahteraan Rakyat Perak, Saarani berkata, ia bertujuan membasmi kemiskinan dengan kolaborasi pelbagai agensi kerajaan Persekutuan dan negeri.

“Kita guna istilah One Stop Center yang mana semua agensi sama ada kerajaan Persekutuan atau negeri hendaklah berurusan di hentian ini sahaja supaya penerima tidak dapat bantuan bertindih atau kita salah guna data.

“Data senarai rakyat miskin daripada Majlis Agama Islam Perak (MAIPk), Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan data eKasih pelbagai agensi hendaklah disatukan di hentian ini bagi membolehkan kita memberi bantuan kepada penerima yang betul-betul layak,” katanya. — Berita Harian

Artikel Berkaitan

Back to top button