Perbicaraan kes cerai Harith, Dr Jezamine ditunda
Perbicaraan kes cerai antara pelawak Harith Iskander dan isterinya, Dr Jezamine Lim yang sepatutnya berlangsung di Mahkamah Rendah Syariah Wilayah Persekutuan, Jalan Duta, Kuala Lumpur pada 15 Julai ini akan ditunda ke satu tarikh lain.
Perkara itu disahkan oleh peguam mewakili Dr Jezamine, Datuk Akberdin Abdul Kader, selain menjelaskan, kedua-dua pihak memberikan kerjasama baik sepanjang perbincangan.
“Memang sekarang sudah jelas kes itu memang wujud. Tarikh sudah ada, tapi ditunda kerana mahkamah ada urusan lain. Kami akan maklumkan tarikh baharu selepas ini.
“Kedua-duanya memberi kerjasama yang baik. Jadi, tunggu tarikh baharu yang akan dimaklumkan,” katanya ditemui di Mahkamah Majistret Kuala Kubu Bharu, hari ini selepas perbicaraan kes pelakon Hafidz Roshdi dan bekas isteri, Nurul Shuhada Mat Shukri.
“Terima kasih atas panggilan atau mesej. Saya mohon maaf atas lambat menjawab.
“Kami akan membuat kenyataan tidak lama lagi dan anda pasti menjadi orang pertama mengetahuinya. Terima kasih banyak atas kesabaran anda,” katanya.
Pada 9 Julai lalu, media melaporkan Dr Jezamine dipercayai memfailkan cerai terhadap suaminya.
Dr Jezamine mengesahkan memfailkan permohonan cerai terhadap Harith, bulan lalu.
“Betul, saya sudah memfailkan cerai. Saya tidak ingat tarikh sebenar permohonan dibuat, tetapi lebih kurang sebulan lalu,” katanya.
Ketika diminta mengulas punca memfailkan cerai, Dr Jezamine belum bersedia berkongsi mengenai masalah peribadinya.
“Saya tiada komen. Mungkin nanti saya akan ceritakan,” katanya.
Harith dan Dr Jezamine, 41, mendirikan rumah tangga pada 12 Jun 2010. Pasangan itu dikurniakan tiga cahaya mata, Zander Xayne, 14, Alessandra Jayne, 11, dan Zydane Zayne, 9.